Kekayaan keluarga Bashar Assad terbongkar

Kekayaan keluarga Bashar Assad terbongkar


Damsyik: Selama bertahun-tahun Presiden Bashar al-Assad dan keluarganya dilihat memiliki imej pemimpin Syria yang sederhana dan serius.

Memetik laporan The New Arab, pakar oftalmologi terlatih itu berjaya menyembunyikan kemewahan berbanding pemimpin diktator Arab lain seperti Muammar Gaddafi dan Saddam Hussein.

Imejnya adalah sebahagian daripada kempen perhubungan awam yang terperinci yang direka untuk menjauhkan Bashar daripada tuduhan rasuah dan elitisme, walaupun pemerintahannya terbabit dalam penindasan kejam terhadap rakyatnya.

Namun, berikutan kejatuhannya pada 8 Disember lalu, imej yang direka dengan teliti itu musnah, dan tahap sebenar kekayaan Bashar terbongkar.

Ketika keluarganya mencari perlindungan di Rusia, perhatian beralih kepada apa yang mereka tinggalkan.

Imej dari istana presiden yang kini kosong mendedahkan perbezaan yang menakjubkan antara imej kesederhanaan Bashar dan realiti kehidupan mewahnya.

Bilik yang pernah dihiasi dengan dinding berdaun emas dan perabot mahal dirompak, dengan rakaman menunjukkan orang ramai membawa permaidani merah dan barangan mewah, termasuk beg Dior.

Barang yang ditinggalkan bukan sahaja harta benda, tetapi juga koleksi aset yang menakjubkan.

Antaranya, koleksi kereta mewah termasuk Ferrari F50 yang jarang ditemukan, Lamborghini Diablo, dan Rolls-Royce.

Menurut The New Arab, keluarga itu juga mempunyai hartanah yang luas, rangkaian perniagaan yang menjangkau Timur Tengah dan kawasan lain.

Siasatan mendapati, keluarga Bashar berkemungkinan menguasai aset bernilai AS$16 bilion (kira-kira RM71 bilion), termasuk 200,000 kilogram (kg) emas dan berbilion euro.

Ia adalah jumlah yang setara dengan belanjawan negara Syria selama hampir tujuh tahun, berdasarkan angka 2023.

Laporan lain mencadangkan bahawa nilai bersih kekayaan keluarga Bashar boleh mencecah AS$2 bilion (kira-kira RM9 bilion) walaupun angka ini sukar untuk disahkan kerana struktur kewangan kompleks yang mereka kekalkan.

Laporan 2022 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan bahawa pemerintahan Bashar menjalankan sistem naungan kompleks syarikat shell, pegangan hartanah dan akaun luar pesisir yang direka untuk menyembunyikan kekayaan mereka dan mengelakkan sekatan.

Kebanyakan aset ini dipercayai tersembunyi di Eropah, dengan sebahagian besar terikat dengan hartanah mewah di London, Moscow dan Dubai.

Siasatan 2016 oleh The New Arab berdasarkan Panama Papers mendedahkan bahawa keluarga Bashar menggunakan syarikat luar pesisir untuk mengelak sekatan antarabangsa.

Empayar kewangan keluarga Bashar juga meluas ke sektor utama seperti telekomunikasi, hartanah, minyak, dan perbankan, mengawal anggaran antara 45 dan 95 bilion pound sterling dalam aset, menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Syria.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top