Kekurangan bakat cabaran utama Iskandar

Kekurangan bakat cabaran utama Iskandar


Iskandar (kiri) bakal memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita negara bermula Oktober ini.

KEKURANGAN pemain berbakat dalam kem perseorangan wanita negara menjadi cabaran utama buat Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang bakal memulakan tugas sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita kebangsaan bermula Oktober ini.

Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj berkata, ketika ini prestasi kem perseorangan wanita masih tenggelam berbanding sektor beregu lelaki, beregu wanita, beregu campuran serta perseorangan lelaki negara.

“Jabatan perseorangan wanita memerlukan perhatian serius kerana hanya dua pemain negara ketika ini beraksi secara konsisten dalam kejohanan Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

“Ini satu cabaran besar buat Iskandar kerana dari dahulu lagi kita sedar perseorangan wanita tidak banyak menampilkan pemain yang benar-benar mampu mencabar dalam kejohanan utama,” katanya kepada Sukan Sinar.

Ujarnya, meskipun Malaysia mempunyai barisan pelapis yang ramai, proses melahirkan pemain perseorangan wanita berkualiti memerlukan tempoh pembangunan jangka panjang dan sistematik.

“Iskandar perlu turun ke akar umbi bagi mengenal pasti bakat mentah yang berpotensi, sebelum dibawa masuk ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) untuk digilap secara intensif,” jelas James.

Ketika ini, hanya dua pemain kebangsaan iaitu K Letshanaa (ranking ke-45 dunia) dan Wong Ling Ching (87) serta dua pemain profesional, Goh Jin Wei (46) dan S Kisona (85), tersenarai dalam kelompok 100 pemain terbaik dunia.

Sementara itu, beberapa pemain turut memperkuatkan cabaran skuad kebangsaan seperti Siti Zulaikha Muhammad Azmi, Oo Shan Zi, Shaneesa Shahidi, Lim Zhi Shin dan Eng Ler Qi.

James yang juga bekas pemain perseorangan lelaki negara menambah, usaha BAM mendedahkan pemain muda kepada kejohanan kompetitif perlu dipergiatkan untuk memastikan kesinambungan dalam sektor itu.

“Pendedahan kepada kejohanan dalam dan luar negara sangat penting. Langkah BAM sebelum ini harus diteruskan secara konsisten.

“Namun perlu diakui, untuk membentuk pemain yang bukan sahaja berbakat tetapi konsisten dan berdaya saing dalam era badminton moden bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ini cabaran sebenar buat Iskandar,” katanya.

 



Source link

OR

Scroll to Top