Kekurangan fizikal tidak halang Nur Damia kejar impian

Kekurangan fizikal tidak halang Nur Damia kejar impian

Kekurangan fizikal tidak halang Nur Damia kejar impian


am@hmetro.com.my

Kuala Berang: Kekurangan fizikal bukan penghalang bagi Nur Damia Irsalina Daeng Malis, 19, apabila nekad mengejar impian menjadi pereka dalaman meskipun dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan serta kaki.

Nur Damia berkata, minat mendalam terhadap bidang reka bentuk dalaman mendorongnya memohon melanjutkan pengajian selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagaimanapun katanya, pada awalnya dia berdepan kesulitan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi meskipun memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Dua kerana program mereka hanya ditawarkan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) yang boleh menguruskan diri sendiri.

Justeru itu, Nur Damia amat menghargai kesediaan Pusat Latihan Industri Perkayuan Terengganu (TTITC) untuk memberinya peluang menyambung pengajian SKM Tahap Tiga.

“TTITC berbesar hati menerima saya untuk melanjutkan pengajian SKM Tahap Tiga di tempat mereka.

“Saya difahamkan pusat pengajian itu melakukan sedikit penambahbaikan pada prasarana terutama pada laluan kerusi roda (rem) dan membuka keluasan pintu bagi memudahkan saya untuk ke bilik kuliah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Lubuk Batu, dekat sini, hari ini.

Terdahulu, dia menerima kunjungan Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Datuk Rozi Mamat yang meninjau perkembangan remaja berkenaan.

Sementara itu, ibunya, Rosnaini Mohamad, 48, berharap anak ketiga daripada empat beradik itu berjaya merealisasikan cita-citanya memandangkan seluruh keluarga memberi sokongan penuh.

“Kami sekeluarga faham, kebanyakan institusi pengajian tinggi menawarkan kursus kepada OKU yang boleh menguruskan diri namun Nur Damia, kami terpaksa uruskan. Peluang yang diberikan TTITC amat kami hargai,” katanya.

Menurut Rosnaini, Nur Damia yang menghidap Sindrom tetra-amelia kini mendapatkan rawatan rehabilitasi serta rawatan pakar tulang secara berkala, manakala urusan ke pusat pengajian dibantu oleh kakaknya.

Menurutnya, setiap hari kakak Nur Damia akan menghantarnya ke pusat pengajian dan juga menjemputnya pulang kerana dia tidak boleh tinggal di asrama seperti pelajar lain.

“Insya-Allah saya berharap Nur Damia mampu mengatur langkah dan berjaya dalam bidang yang diceburi walaupun dilahirkan tidak seperti insan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Rozi berkata, kunjungan itu bertujuan melihat perkembangan Nur Damia yang beliau dikenali sejak dilahirkan sehingga kini.

Menurutnya, dia berharap kecekalan Nur Damia menjadi inspirasi kepada anak muda lain untuk cekal melanjutkan pengajian selepas tamat alam persekolahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top