Kelab-kelab Liga-M bangga pencapaian JDT’

Kelab-kelab Liga-M bangga pencapaian JDT’


JDT terus mengukuhkan status mereka sebagai antara kelab terbaik di Asia. Foto Johor Southern Tigers

KEHEBATAN Johor Darul Ta’zim (JDT) menempatkan diri di tangga kelapan kelab terbaik Asia dianggap sebagai sesuatu yang cukup bermakna buat bola sepak negara, sekali gus membuktikan kelab tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan gergasi rantau ini.

Pengerusi Kuala Lumpur City FC (KL City), Syed Yazid Syed Omar berkata, kejayaan Harimau Selatan itu bukan sahaja mengangkat martabat kelab berkenaan malah turut membanggakan seluruh keluarga Liga Malaysia (Liga-M).

Menurunya, ia juga menjadi inspirasi buat pasukan lain dalam Liga-M untuk terus melangkah ke arah lebih profesional dengan visi, misi dan kesungguhan yang sama.

“Kita perlu berbangga dengan pencapaian JDT muncul sebagai lapan kelab terbaik Asia, mengatasi kelab-kelab Korea Selatan, China dan negara Asia Barat lain.

“Bukan mudah untuk capai seperti dilalukan JDT di mana ia menuntut komitmen, masa, perancangan jitu dan segala-galanya.

“Kelab-kelab Liga Malaysia berbangga dengan apa diraih JDT dan kejayaan itu sebenarnya membakar semangat kelab lain untuk bergerak profesional dan berjaya,” katanya.

Terdahulu, Opta Power Ranking mengesahkan skuad bimbingan Xisco Munoz kini menduduki tangga kelapan terbaik Asia serta ke-207 dunia, melonjak tujuh anak tangga berbanding kedudukan terdahulu.

Lebih manis, kedudukan itu mengatasi beberapa nama besar dunia termasuk Estudiantes, Stoke City, Lokomotiv Moscow, Velez Sarsfield, Independiente, Besiktas, LA Galaxy, Las Palmas dan Empoli.

JDT juga muncul pasukan nombor satu Asia Tenggara apabila meninggalkan pencabar utama, Buriram United dari Thailand yang kini di tangga ke-33 Asia.

Di Asia, hanya tujuh kelab berada di hadapan JDT iaitu gergasi Arab Saudi, Al-Hilal, Al-Nassr, Al-Ahli dan Al-Ittihad manakala tiga lagi ialah wakil Jepun iaitu Sanfrecce Hiroshima, Vissel Kobe dan Machida Zelvia.



Source link

OR

Scroll to Top