Reaksi kecewa Mbeumo apabila sepakannya menggegar palang, sekali gus memberi kemenangan dramatik buat Grimsby Town dalam aksi Piala Liga di Blundell Park. FOTO: Agensi
MANCHESTER United menempuh detik paling memalukan musim ini apabila disingkirkan kelab Liga Dua, Grimsby Town menerusi penentuan penalti 12-11 selepas terikat 2-2 dalam aksi Piala Liga di Blundell Park, awal pagi Khamis.
Perlawanan yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat itu menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu mengejutkan The Red Devils dengan mendahului 2-0 hasil jaringan Charles Vernam dan bekas pemain akademi United, Tyrell Warren pada separuh masa pertama.
Kedua-dua gol Grimsby adalah hasil kesilapan penjaga gol United, Andre Onana.
United yang tampak longlai di awal permainan mengubah rentak pada babak kedua dengan memasukkan pemain tonggak seperti Bruno Fernandes dan Bryan Mbeumo.
Hasilnya, United merapatkan kedudukan pada minit ke-75 menerusi Mbeumo sebelum Harry Maguire menyamakan kedudukan, seminit sebelum tamat masa sebenar.
Aksi berlanjutan ke penentuan penalti yang penuh dramatik dengan kedua-dua pasukan berbalas jaringan sehingga ke sepakan ke-24.
Namun, Mbeumo yang sebelum itu menjadi penyelamat United, gagal menyempurnakan sepakan terakhir apabila bola sekadar menggegar palang, sekali gus menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Grimsby.
Kejayaan ini bukan sekadar membawa Grimsby ke pusingan seterusnya, malah tercatat sebagai antara kejutan terbesar dalam sejarah Piala Liga apabila United buat pertama kali tewas kepada pasukan yang berada empat divisyen lebih rendah.
Kekalahan United itu mengundang kemarahan penyokong Red Devils yang menuntut Amorim memikul tanggungjawab, malah ada yang mendesak pengendali Portugal itu berundur.
Onana turut menjadi sasaran kritikan susulan dua kesilapan yang memalukan.