Kelab malam beroperasi secara haram diarah tutup

Kelab malam beroperasi secara haram diarah tutup


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pusat hiburan tidak berlesen diarah tutup dalam satu operasi penguatkuasaan di sekitar ibu negara, di sini, semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu hantaran di Facebook berkata serbuan membabitkan dua premis hiburan dijalankan secara bersepadu oleh pasukan KL Strike Force.

“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan, salah satu dari premis berkenaan tidak mempunyai lesen untuk mengadakan hiburan di dalam premis manakala satu lagi premis masih lagi dalam proses permohonan.

“Hasil pemeriksaan, DBKL menyita barangan yang terbabit dalam aktiviti hiburan,” katanya hari ini.

Katanya, seramai 27 warga asing ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam operasi sama.

Selain itu, seramai 19 individu ditahan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selepas ujian air kencing mereka didapati positif dadah.

Menurutnya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) juga mengeluarkan 10 surat perintah hadir untuk memberi keterangan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top