Kelab penyokong hantar surat selepas harga tiket naik

Kelab penyokong hantar surat selepas harga tiket naik


Stadium Old Trafford venue keramat Manchester United. Foto Agensi

PENYOKONG Manchester United menggesa pengurusan kelab membekukan kenaikan harga tiket dan memperbaiki hubungan dengan pemain ke-12 menerusi surat terbuka kepada Sir Jim Ratcliffe.

Ratcliffe, yang kumpulan INEOSnya memiliki kepentingan minoriti dalam United dan menyelia operasi bola sepak, sebelum itu hadir di Craven Cottage semasa The Red Devils meraih kemenangan 1-0 ke atas Fulham.

Pemain ke-12 United yang bertandang ke laman lawan menyuarakan rasa tidak senang mereka terhadap kenaikan harga tiket pertengahan musim baru-baru ini melalui chant.

Manchester United Supporters Trust (MUST) juga menekankan keperluan untuk penambahbaikan dalam hubungan antara kelab dan penyokong, selepas prestasi buruk United di padang.

Musim lalu, United menduduki tempat kelapan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) terendah sejak 1990, dan kini menduduki tangga ke-12 selepas 23 perlawanan kempen semasa.

Dalam surat itu, kumpulan tersebut juga menyifatkan kenaikan harga sebagai masa yang kurang tepat dan memberi kesan negatif kepada sentimen peminat, suasana hari perlawanan dan prestasi pasukan.

Mereka juga menggesa pembekuan harga selain mendesak kelab itu memberi tumpuan kepada peningkatan keputusan atas padang sebelum meneroka sumber pendapatan alternatif.

“Semasa anda mempertimbangkan keputusan pada masa depan mengenai dasar dan harga tiket perlawanan, kami menggesa anda untuk berhenti seketika dan memikirkan teliti tentang masa, akibat yang berpotensi dan kesan jangka panjang daripada sebarang perubahan besar,” tulis peminat dalam surat itu.

Pada November lalu, MUST menulis surat kepada Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Omar Berrada, meminta pembatalan keputusan untuk menaikkan harga tiket kepada 66 pound untuk baki perlawanan di tempat sendiri musim 2024/25.

Peningkatan itu berlaku apabila Ratcliffe menyasarkan untuk mematuhi peraturan keuntungan dan kemampanan Liga Perdana di tengah-tengah kesukaran kewangan United yang berterusan.

Kelab itu baru-baru ini mengakui bahawa ia berisiko melanggar peraturan ini melainkan ia mencari jalan untuk membalikkan kerugian kewangannya yang berterusan.



Source link

OR