Kelab penyokong tagih kesungguhan tinggi pemain TFC

Kelab penyokong tagih kesungguhan tinggi pemain TFC


Gesaan penyokong TFC menjelang separuh akhir kedua Piala Malaysia.

KELAB penyokong kekal berdiri teguh ketika Terengganu FC (TFC) berdepan misi sukar menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di laman lawan pada Sabtu.

Percaturan di atas kertas skuad Pantai Timur itu perlu bangkit meledak lima gol untuk mengatasi Harimau Selatan dalam saingan di Stadium Sultan Ibrahim.

Bagaimanapun kelab penyokong skuad Peteh itu mengharapkan semangat para pemain untuk terus berjuang sehingga ke wisel penamat.

Presidennya, Mohd Juslihadi Mohd melahirkan komitmen kelab penyokong untuk terus bersama pasukan sambil berharap para pemain tidak berputus asa bagi melakar keputusan positif.

“Bagi perlawanan Sabtu ini, menang bukan cerita mustahil dalam bola sepak. Jika tumpas, biar tumpas yang boleh disanjung atas kesungguhan dan pengorbanan anda. Kami hadir sebagai saksi! Teruskan berjuang 90 minit kami bersama anda.

“Anda sebagai pemain, kami tidak harapkan perkara lain, kami nak menyaksikan kesungguhan dan semangat luar biasa apabila anda jejakkan kaki ke padang perlawanan,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Beliau menjelaskan, kelab penyokong sanggup berkorban demi pasukan kerana sedar bahawa tanggungjawab mereka adalah memberi suntikan semangat buat para pemain.

“Kami kelab penyokong bukan dibayar untuk menyokong anda. Begitu juga kelab-kelab penyokong Terengganu yang lain.

“Kami ambil cuti, merancang dan berbelanja berhabis duit untuk beramai-ramai ke stadium sendiri dan kubu lawan untuk memberikan sokongan buat setiap pemain.

“Setakat musim ini, untuk kesemua saingan Liga Malaysia, kami tidak pernah terlepas walau satu perlawanan di tempat lawan untuk hadir bagi memberikan sokongan.

“Ingatlah, ini bukan kami pergi bercuti, tetapi kami berikan segalanya kerana merasa ia adalah tanggungjawab kami untuk memberikan sokongan untuk para pemain terutama apabila berada di tempat lawan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top