Kelab, persatuan harus bersama ambil tanggungjawab – Zainol Fadzi

Kelab, persatuan harus bersama ambil tanggungjawab – Zainol Fadzi


KELAB Liga Malaysia (Liga-M) seharusnya mengambil tanggungjawab dalam pembangunan bola sepak bagi memastikan kesinambungan melahirkan lebih ramai pemain tempatan pada masa depan.

Malah, bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Zainol Fadzi Paharudin juga menyarankan kelab Liga Super mengadakan kerjasama strategik dengan persatuan bola sepak negeri.

Beliau yang senada dengan teguran pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung aspek pembangunan, percaya peranan proaktif perlu diambil pihak berkenaan dalam aspek pembangunan tersebut.

“Tapi mungkin juga terdapat kekangan dalam kelab-kelab Liga Super ini kerana seperti kita dengari sebelum ini terdapat pasukan yang berdepan dengan isu tunggakan gaji.

“Jadi mungkin apabila ditambah satu lagi tanggungjawab membangunkan pemain pelapis tidak mustahil satu masa mereka (pemilik) akan menyerah tidak mahu lagi mengendalikan pasukan.

“Situasi ini secara tidak langsung akan memberikan implikasi kepada kelangsungan perjalanan liga pula pada masa depan.

“Jadi mengapa tidak kelab Liga Super dan persatuan bola sepak negeri mengadakan kerjasama manakala FAM sebagai badan induk boleh bantu persatuan bola sepak,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada masa sama jelas Zainol Fadzi lagi, persatuan bola sepak negeri juga perlu lebih proaktif dalam mengaktifkan program pembangunan negeri.

“Apabila sektor swasta mengambil alih pasukan Liga Super, terdapat juga segelintir kelab mahukan keputusan segera.

“Mereka (pemilik pasukan) ini juga mungkin tidak selamanya akan mengendalikan kelab masing-masing kerana sampai satu peringkat mereka akan jual kelab mungkin disebabkan kekangan kewangan.

“Pengakhirannya saya percaya perkara ini akan kembali semula kepada persatuan bola sepak negeri apabila berkaitan dengan pembangunan,” ujarnya.

Zainol Fadzi yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) percaya pembangunan sekiranya diberikan perhatian serius mampu menghasilkan pelapis berkualiti dan berwibawa kepada skuad negara.

Malah jelas Zainol Fadzi, perkara pertama yang dilakukan semasa menjadi Presiden PAFA adalah perkuatkan pembangunan akar umbi bola sepak negeri.

“Biarpun PAFA ada pasukan Liga Super tapi saya tetap beri tumpuan kepada pembangunan dengan buka klinik bola sepak untuk sekolah rendah dan menengah di daerah, minta bekas pemain-pemain turun Sabtu dan Ahad untuk scouting.

“Saya beri tumpuan kepada pembangunan pada 2010, hasilnya apabila Perak jadi juara Piala Malaysia 2018, majoriti pemain merupakan produk klinik 2010.

“Pembangunan ini ambil masa dan sekiranya diperhatikan sepanjang 2010 sampai 2015, Perak miliki pasukan Belia dan Presiden yang kuat sebelum juara Piala Malaysia 2018 dengan enam pemain pembangunan berada dalam skuad ketika itu,” katanya.

Selain itu jelas Zainol Fadzi, Perak merupakan juara Sukan Malaysia (SUKMA) sebanyak tiga kali dalam empat penampilan pentas perlawanan akhir yang semuanya adalah hasil program pembangunan.

“Saya percaya hanya pembangunan akar umbi sahaja yang mampu melahirkan pemain yang berkualiti dan berwibawa untuk skuad negara pada masa depan.

“Apa yang ditegur oleh Tunku Mahkota Ismail pernah dilakukan oleh persatuan bola sepak negeri sebelum ini.

“Bukan satu perkara yang baharu kerana sebelum ini import yang untuk pasukan negeri tidak ramai satu, dua atau tiga pemain sahaja, itu menyebabkan kita terpaksa cari bakat baharu,” katanya lagi.



Source link

OR

Scroll to Top