Kelancaran pergerakan keluar hasil persiapan rapi – MAHB

Kelancaran pergerakan keluar hasil persiapan rapi – MAHB

Kelancaran pergerakan keluar hasil persiapan rapi – MAHB


am@hmetro.com.my

Putrajaya : Persiapan selama berbulan-bulan oleh sepasukan 70 pegawai daripada 24 unit termasuk pengendali lapangan terbang serta agensi terbabit menyaksikan pergerakan penumpang yang lancar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, yang berakhir semalam.

Pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) merekodkan pergerakan keluar masuk lancar sepanjang lapan hari berlangsungnya sidang kemuncak berkenaan.

Dalam satu kenyataan media hari ini, MAHB berkata, ia merekodkan pergerakan sejumlah 1.4 juta penumpang yang menggunakan 9,300 penerbangan sepanjang tempoh antara 22 hingga 29 Oktober lalu.

Kenyataan itu menyebut, ia termasuk delegasi luar yang menghadiri sidang kemuncak berkenaan yang dipengerusikan Malaysia.

“Pergerakan ketibaan dan pelepasan bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan sudah dilaksanakan dengan lancar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, serta di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (SZB), memastikan kesalinghubungan tanpa gangguan dan kemudahan yang cekap untuk ketua-ketua kerajaan, menteri-menteri dan perwakilan antara 22 dan 29 Oktober 2025.

“Sejumlah 60 penerbangan istimewa dan sewa khas dikendalikan melalui Kompleks Bunga Raya di KLIA dan terminal penerbangan perniagaan SZB, diselaraskan dengan penjadualan ketat, pengendalian yang selamat, dan impak minimum kepada operasi penumpang biasa,” katanya.

MAHB berkata, perancangan terbabit termasuk persiapan logistik, pengendalian di lokasi dan persediaan kecemasan, yang turut dibantu beratus-ratus anggota sokongan di kedua-dua lapangan terbang berkenaan.

“Satu raptai berskala penuh dijalankan di Kompleks Bunga Raya seawal September, untuk menguji pelan tindak balas kecemasan bangunan (ERP) dan mengukuhkan koordinasi antara agensi.

“Raptai itu membabitkan pegawai dan anggota dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Luar (Wisma Putra), Kementerian Pengangkutan (MOT), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Kesihatan (KKM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), serta petugas di lapangan.

“Ia menguji komunikasi kecemasan, prosedur pemindahan dan pematuhan untuk memastikan kesiapsiagaan sepenuhnya menjelang acara itu,” katanya.

MAHB berkata, pada minggu terakhir Oktober, Pasukan Pengurusan Krisis Lapangan Terbang (ACMT) diaktifkan untuk menyediakan penyeliaan operasi masa nyata dan koordinasi dengan Wisma Putra, MOT, CAAM, PDRM serta agensi-agensi utama lain, bagi memastikan pergerakan yang selamat, cekap dan tidak terganggu.

Pada masa sama, kenyataan itu memaklumkan, kehadiran delegasi dan ketua negara menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN itu juga mendapat sambutan peminat penerbangan serta kapal terbang di kedua-dua lapangan terbang.

“Ramai yang berhimpun di lapangan terbang untuk menyaksikan serta merakamkan gambar ketibaan pesawat khas yang membawa ketua negara serta orang kenamaan, sekali gus menambah keterujaan suasana persidangan.

“Kehadiran mereka menyerlahkan kepentingan lapangan terbang sebagai pintu masuk utama diplomasi antarabangsa dan mempamerkan peranan Malaysia sebagai tuan rumah untuk acara-acara global yang besar.

“Berikutan momentum ini, pengurusan lancar operasi Sidang Kemuncak ASEAN menunjukkan kekuatan ekosistem penerbangan Malaysia serta kesediaan negara untuk menjadi tuan rumah acara-acara antarabangsa yang besar dengan selamat dan cekap,” katanya.

MAHB berkata, ia juga mencerminkan tumpuan berterusan terhadap kecemerlangan perkhidmatan dan disiplin operasi bawah kerangka transformasi Perkhidmatan–Pertumbuhan–Kapasiti.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top