Kelantan Darul Naim kini di bawah Kijang Handal Sdn Bhd.
KELAB Bolasepak Kelantan Darul Naim (KDN FC) mengumumkan pelaksanaan penstrukturan semula organisasi kelab secara menyeluruh melalui pelantikan entiti pengurusan baharu, Kijang Handal Sdn. Bhd., sebagai langkah strategik memperkukuh hala tuju kelab menjelang musim depan.
Penstrukturan ini menyaksikan Datuk Mohd Irwan Rizal diberi kepercayaan menerajui pengurusan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang baharu.
“Beliau akan bertanggungjawab memacu pembangunan kelab dalam pelbagai aspek, termasuk pengurusan pasukan utama, pembangunan akar umbi, dan pemerkasaan struktur dalaman.
“Inisiatif ini bertujuan memperkasa struktur organisasi serta melonjakkan prestasi keseluruhan pasukan di samping merancang program pembangunan jangka panjang yang lestari dan inklusif untuk pemain-pemain muda.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada strategi bersepadu ke arah pembinaan sebuah kelab yang lebih tersusun, profesional dan mampan. Ia juga membuka lembaran baharu dalam usaha memartabatkan bola sepak Kelantan ke tahap yang lebih tinggi,” menurut kenyataan kelab Kijang Emas berkenaan.
Pada masa sama, KDN FC turut merakamkan penghargaan tulus ikhlas kepada barisan pengurusan terdahulu atas segala jasa, dedikasi dan sumbangan yang telah dicurahkan dalam memajukan kelab selama ini.
“Kami menyeru seluruh rakyat Kelantan untuk terus berdiri teguh bersama KDN FC dalam era pembaharuan ini, demi menyemarakkan kembali kegemilangan bola sepak negeri,”kata kelab itu.
KDN turut memaklumkan bahawa beberapa pengumuman penting berkaitan hala tuju dan perancangan strategik kelab akan dikongsikan dalam masa terdekat.
Orang ramai diseru mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi kelab.