KOTA BHARU: Satu demi satu masalah melanda Kelantan Darul naim (KDN) FC musim ini apabila pasukan dari Pantai Timur itu kini dikatakan hanya beraksi bagi melengkapkan baki saingan Liga Super.
Selepas kehilangan khidmat pemain import, KDN FC kini terpaksa menggunakan khidmat pemain muda dengan beberapa pemain senior dalam aksi menentang Penang FC di Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Lebih mengejutkan, dalam perlawanan itu juga, KDN FC dibimbing oleh pengendali sementara iaitu Kamarudin Muhammad selepas penolong jurulatih, Rezal Zambery Yahya tidak bersama pasukan tanpa diketahui sebab sebenar.
“KDN sekarang ini dalam keadaan kritikal dan bermain sekadar untuk melengkapkan jadual liga. Bagi perlawanan seterusnya saya harap pasukan ini dapat dikendalikan oleh seorang jurulatih yang benar-benar berkaliber,” kata Kamaruddin.
Selain itu, Kamaruddin juga mendedahkan pasukan berkenaan juga berdepan masalah kecergasan apabila pemain tidak berlatih secara konsisten dan hanya dikumpulkan dua hari sebelum perlawanan.
“KDN sebenarnya ada masalah dari segi latihan kerana tidak mempunyai hari-hari latihan secara tetap. Pemain cuma dipanggil dan dikumpulkan dua hari sebelum perlawanan untuk menjalani latihan,” katanya.
Difahamkan, KDN FC juga ketika ini senasib dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berdepan masalah tunggakan gaji dengan ada dalam kalangan pemain mendakwa mereka tidak menerima gaji sejak enam bulan lalu.
Selepas 19 perlawanan musim ini, KDN FC berada di tangga tercorot Liga Super dengan tujuh mata selepas merekodkan 16 kekalahan, dua kemenangan dan satu keputusan seri.-UTUSAN