Kelantan gesa PLSB Sungai Golok diteliti semula

Kelantan gesa PLSB Sungai Golok diteliti semula


KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggesa perancangan dan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok dikaji semula oleh pihak berkaitan.

Menteri Besar Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kajian secara berfasa dengan penjadualan yang lebih teratur dan strategik itu penting supaya kesan buruk kepada rakyat berhampiran kawasan pembinaan tidak berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan.

“Oleh itu, kita (kerajaan negeri) menyeru agar reka bentuk projek dikaji semula dengan mengambil kira standard perlindungan terkini yang lebih realistik. Ini bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin dan kebajikan mereka terus terbela.

“Pembinaan culvert (pembentung) yang dirancang ke tanah orang kampung berdekatan telah memberi kesan yang besar akibat luruan air semasa banjir atau semasa aras air melebihi ban dari jajaran ban Sungai Golok hingga ke Meranti dan sekitarnya melebihi 10 kilometer,” katanya semasa sidang media di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mohd. Nassuruddin memberitahu, langkah mitigasi yang komprehensif perlu disediakan bagi melindungi penduduk.

Katanya, kerajaan negeri turut menyeru agar pandangan dan idea penduduk asal kampung-kampung sekitar Sungai Golok diambil kira dalam setiap perancangan,

“Sebagai stakeholders (pemegang taruh) utama, penduduk lebih memahami keperluan dan cabaran setempat yang perlu diberikan perhatian serius.

“Kerajaan negeri amat komited untuk memastikan rakyat di kawasan terlibat tidak lagi menjadi manga setiap kali musim tengkujuh dengan terus bekerjasama melalui Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi, dan penduduk setempat dalam memastikan penyelesaian jangka panjang yang efektif terhadap isu banjir ini,” ujarnya.

Mohd. Nassuruddin berkata, kerugian tahunan yang dialami penduduk akibat banjir sentiasa menjadi keprihatinan di peringkat kerajaan.

Katanya, pelaksanaan projek tebatan banjir perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan kerugian lebih besar pada masa hadapan.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top