KERAJAAN Kelantan menyasarkan Sukan Malaysia (Sukma) 2028 menjadi perintis sukan mesra Islam yang pertama di negara ini.
Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri, Zamakhshari Muhamad berkata, persiapan dilaksanakan melalui pembangunan Dasar Sukan Mesra Islam bagi menjadikan Kelantan sebagai negeri contoh dalam pembangunan sukan berteraskan prinsip Islam.
“Kami mahu pastikan Kelantan bukan sekadar tuan rumah yang menyediakan fasiliti dan pengurusan terbaik, tetapi juga sebagai perintis pelaksanaan sukan mesra Islam yang harmoni, inklusif dan berpaksikan syariah,” katanya pada Khamis.

Zamakhshari
Beliau berkata, langkah itu juga digerakkan menerusi penganjuran Sidang Meja Bulat Siri Ke-2: Pelaksanaan Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan di Hotel H Elite, Tunjung di sini yang menghimpunkan lebih 80 peserta terdiri daripada akademik, atlet, jurulatih dan wakil badan bukan kerajaan.
Katanya, pembangunan dasar itu selari dengan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ yang merangkumi pembangunan insan secara menyeluruh termasuk dalam aspek kesihatan, sahsiah dan kerohanian melalui sukan.
Antara agenda utama yang dibincangkan dalam sidang itu termasuk pelaksanaan dasar sukan patuh syariah, pembangunan fasiliti sukan mesra Islam dan pemakaian serta pengurusan sukan menepati tuntutan agama.
Turut dibentangkan ialah potensi sukan sebagai pemangkin pelancongan Islam dan pembangunan ekonomi negeri.
Zamakhshari berkata, pembentangan melibatkan pakar-pakar akademik dari universiti tempatan atas sumbangan idea bernas ke arah pembentukan ekosistem sukan yang progresif dan berpandukan nilai Islam.

Sidang Meja Bulat Siri Ke-2: Pelaksanaan Polisi dan Dasar Sukan Mesra Islam Kelantan dijalankan pada Khamis.
“Sukan bukan sekadar pertandingan, tetapi ruang membentuk akhlak, mengukuhkan perpaduan dan meningkatkan kesihatan masyarakat. Inilah semangat yang mahu kami bawa dalam Sukma 2028,” katanya.
Program juga membentangkan resolusi dan cadangan dasar yang akan diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai asas pelaksanaan hala tuju sukan negeri menjelang 2028.
OR