am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Negeri Kelantan mencatat bacaan indeks jenayah kedua terendah di seluruh negara sekali gus memberi jaminan sebagai antara negeri yang selamat di Malaysia.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata jenayah indeks adalah kesalahan seperti kekerasan, kes bunuh, merompak, mencuri, dan kes rogol.
Katanya, kenyataan itu disahkan melalui laporan terkini mengenai kadar jenayah di Malaysia oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan skor 96 per 100,000 penduduk yang mana menjadikan Kelantan negeri kedua yang paling selamat.
“Manakala, statistik menunjukkan Sabah menjadi negeri pertama selamat dengan indeks jenayah sebanyak 95 per 100,000 penduduk. Jika dilihat pada laporan tidak banyak perbezaan antara Kelantan dan juga Sabah.
“Kita boleh menguar-uarkan hasil daripada kajian indeks sosial ini dan langsung tiada istilah untuk menjadikan ia sebagai bahan politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) mengenai pencapaian kerajaan negeri dalam penghayatan Membangun Bersama Islam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Mohamed Fadzli berkata, dalam masa sama Kelantan mencatat bacaan indeks jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah yang agak tinggi, justeru pelbagai usaha dijalankan untuk mengatasi masalah terbabit.
“Kerajaan dari semasa ke semasa mengambil pelbagai inisiatif seperti menubuhkan unit dakwah halaqah, mewujudkan enakmen kawalan hiburan, menutup kedai judi, dam mengawal penjualan arak.
“Selain itu, kita juga mengambil langkah melakukan pengubahsuaian terhadap budaya rakyat Kelantan yang bertentangan dengan islam, sebagai contoh membabitkan persembahan Makyong dan wayang kulit.
“Kesemua ini adalah antara bukti tahap pencapaian kerajaan negeri dalam penghayatan Membangun Bersama Islam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd