PRESIDEN The Real Warriors (Kelantan TRW), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan pihaknya sudah menyelesaikan kes di peringkat Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan tunggakan gaji pemain import.
Annuar memberitahu, pasukan yang sebelum ini dikenali Kelantan Darul Naim (KDN) FC mempunyai sembilan kes keseluruhan di FIFA.
Bagaimanapun kesemuanya sudah diselesaikan termasuk satu kes baharu tetapi kini hanya menunggu sistem mengeluarkan kes berkenaan.
“Pihak kelab sudah menyempurnakan semua peraturan FIFA dan minggu depan kita sudah boleh membuat pendaftaran pemain kita.
“Selepas ini kita boleh memberi fokus menyusun semula pengurusan, penajaan dan barisan pasukan yang mampu membawa cabaran di tahap Liga Super,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Pengenalan Pemain Serta Rakan Penaja The Real Warriors Musim 2025/26 pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan TRW, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.
Dalam pada itu, beliau berkata, TRW mempunyai seorang lagi pemain import dari Filipina yang baru tiba dari Kuala Lumpur.
“Saya berharap kita akan memulakan liga pada tahun ini dan Kelantan berkeupayaan menjadi pasukan yang mampu bersaing setara dengan standard yang dituntut pasukan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, Kelantan TRW berusaha melahirkan pasukan bola sepak berkualiti tanpa perbelanjaan besar.
Justeru, beliau mencadangkan Kelantan tiket ‘season pass’ yang mungkin dapat mengurangkan kebergantungan kepada dana sedia ada.
Annuar yakin kehebatan dan sokongan peminat terhadap bola sepak Kelantan boleh berbelanja untuk untuk mendapatkan ‘season pas’.
“Kita tahu Kelantan mempunyai kelab peminat yang terhebat di kalangan pasukan tetapi perlu rancang membentuk satu pengurusan yang lebih moden,” katanya.
“Saya nak cuba mewujudkan satu model baharu bola sepak negara yang tidak semestinya berbelanja besar, tidak semestinya berhabis berpuluh juta untuk melahirkan satu pasukan yang bagus, perbelanjaan yang sederhana masih boleh melahirkan pasukan berkualiti,” katanya.
Katanya, kaedah itu juga boleh menggalakkan peminat terus bersama pasukan dan bukan hanya memenuhi stadium ketika perlawanan
Annuar juga mengakui dana masih tidak mencukup dan pihaknya berusaha mencari penaja.
“Bagaimanapun kita memberanikan diri membuat pelaburan yang agak besar untuk mendapatkan tahap minimum,” katanya.