Kelayakan AFC: LRT Bukit Jalil lanjut masa operasi malam ini

Kelayakan AFC: LRT Bukit Jalil lanjut masa operasi malam ini


LRT Bukit Jalil akan melanjutkan waktu operasinya hingga jam 12.30 tengah malam ini.

STESEN Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan melanjutkan waktu operasinya hingga jam 12.30 tengah malam ini.

Langkah proaktif ini diambil sempena dengan perlawanan Kelayakan Piala Asia Arab Saudi 2027 yang menemukan Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan rasminya memaklumkan bahawa pelanjutan waktu operasi ini bertujuan memastikan kelancaran pergerakan penyokong yang hadir dan pulang dari lokasi perlawanan.

Selain Stesen LRT Bukit Jalil, operasi stesen-stesen integrasi juga akan turut dilanjutkan bagi memudah cara perjalanan para penyokong.

Bagaimanapun, stesen-stesen lain akan beroperasi seperti biasa, namun penumpang masih diberi kebenaran untuk keluar di semua stesen bagi meneruskan perjalanan pulang mereka.

Bagi memastikan aliran pergerakan yang lancar dan mengelakkan kesesakan, Rapid Rail menyarankan para penyokong untuk menggunakan kad Touch ‘n Go dan memastikan baki kad mencukupi.

Cadangan alternatif turut diberikan kepada pengguna token agar membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum meninggalkan stesen.

Rapid Rail turut mengesahkan penempatan petugas tambahan di lokasi-lokasi strategik di seluruh stesen bagi membantu melancarkan pergerakan penyokong dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berada dalam keadaan terkawal.

Penyokong yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen yang bertugas.

Orang ramai juga disarankan untuk mengikuti saluran media sosial Rapid KL serta memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi memudahkan perancangan perjalanan mereka.

Untuk sebarang maklumat lanjut berkaitan jadual perkhidmatan Rapid KL, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi di www.myrapid.com.my.



Source link

OR

Scroll to Top