Skuad futsal buka kempen kelayakan Piala Asia 2026 langkah kanan. Foto : FAM
Skuad futsal negara memulakan kempen Kumpulan G Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 dengan langkah kanan selepas menundukkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 1-0 di Stadium Tertutup SUKPA, malam tadi.
Aksi penuh dramatik itu menyaksikan Malaysia tampil agresif sejak wisel permulaan dengan deretan serangan awal menguji kubu lawan.
Bagaimanapun, dua percubaan berbahaya Harith Naim Nasir dan Mohd Ridzwan Bakri pada minit ketujuh serta kesepuluh berjaya ditepis kemas penjaga gol UAE, Hamad Albaroud.
Pasukan pelawat hampir mengejutkan tuan rumah menerusi Hamad Alzaabi, namun rembatannya hanya sekadar singgah di atas palang untuk melegakan benteng terakhir negara yang dikawal Muhammad Syaifuddin.
Babak kedua memperlihatkan UAE lebih tersusun dalam serangan sambil cuba menekan pertahanan Malaysia.
Namun skuad negara juga tidak mengendurkan asakan apabila Muhammad Saad Sani dan Syahir Iqbal Khan hampir menemui jaringan, tetapi usaha mereka sekali lagi dinafikan Hamad.
Ketika perlawanan tampak menuju keputusan seri, Mohamad Awwalluddin Nawi muncul wira negara apabila meledak gol tunggal pada minit ke-38, sekali gus memastikan tiga mata berharga menjadi milik Malaysia.
Keputusan itu kekal sehingga tamat perlawanan, menghadiahkan permulaan sempurna buat skuad bimbingan negara.
Malaysia akan berdepan Bangladesh pada Isnin.
Dalam satu lagi aksi Kumpulan G, gergasi Asia, Iran tidak berdepan masalah membelasah Bangladesh 12-0.
Ringkasan AI
- Skuad futsal negara menang 1-0 ke atas UAE dalam Kelayakan Piala Asia Futsal 2026
- Malaysia tampil agresif sejak permulaan perlawanan
- Percubaan daripada Harith Naim Nasir dan Mohd Ridzwan Bakri berhasil ditahan oleh penjaga gol UAE
- Mohamad Awwalluddin Nawi menjaringkan gol tunggal pada minit ke-38
- Malaysia akan menghadapi Bangladesh dalam perlawanan seterusnya