PENGENDALI skuad Bawah 23 Tahun (B-23) negara, Nafuzi Zain menegaskan hanya kemenangan ke atas Thailand menjadi jalan tunggal buat Harimau Muda mara ke pusingan seterusnya dalam Kelayakan Piala Asia B-23.
Selepas anak buahnya bangkit garang membelasah Mongolia 7-0 dalam aksi kedua Kumpulan F di Stadium Thammasat, Pathum Thani, Thailand pada Sabtu, Nafuzi mengingatkan misi sebenar pasukan masih belum selesai.
“Alhamdulillah, hari ini kita raih tiga mata yang amat penting selepas kalah kepada Lubnan. Pemain bangkit dengan semangat luar biasa dan keputusan 7-0 ini satu kemenangan besar serta sangat berharga.
“Tetapi hanya ada satu jalan untuk kita mara, iaitu kita mesti menewaskan Thailand dalam perlawanan terakhir,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran terakhir menentang Thailand, Nafuzi mengakui lawan itu memiliki kualiti lebih baik, namun menegaskan tiada yang mustahil dalam bola sepak.
“Kita tahu kekuatan Thailand, tetapi dalam bola sepak semua boleh berlaku. Yang penting kita kena usaha dan yakin,” katanya.
Menurut Nafuzi, kemenangan besar ke atas Mongolia memberi suntikan moral kepada pemain selain menambah keyakinan menjelang aksi getir menentang tuan rumah.
“Selepas kemenangan ini, kepercayaan pemain pasti bertambah. Namun kita perlu benar-benar fokus dan membuat persiapan terbaik untuk berdepan Thailand,” ujarnya.
Mengulas perubahan selepas tewas kepada Lubnan, Nafuzi menjelaskan faktor motivasi dan keyakinan menjadi pemangkin prestasi lebih baik ketika menentang Mongolia.
“Kita kekalkan pemain yang sama tetapi beri penekanan dari segi moral dan motivasi. Paling penting, kita berjaya manfaatkan peluang untuk jaringkan gol,” katanya.
Ditanya sama ada senario kali ini hampir sama seperti saingan PIala ASEAN di Jakarta sebelum ini apabila tewas aksi pertama sebelum bertemu lawan sukar di perlawanan terakhir, Nafuzi yakin pasukannya sudah belajar daripada pengalaman lalu.
“Memang skrip agak sama, tetapi saya percaya dengan usaha dan keyakinan kita, insya-ALLAH ada rezeki. Yang penting, pemain kena terus berusaha,” jelasnya.