Pemain Malaysia Romel Morales melakukan cubaan ke gawang pasukan Laos pada perlawanan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di antara Malaysia menentang Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. Foto Bernama
SKUAD Harimau Malaya terus mempamerkan prestasi meyakinkan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 apabila membelasah Laos 5-1 pada aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Kemenangan bergaya itu sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Peter Cklamovski selepas empat perlawanan selain terus kukuh di tangga teratas kumpulan dengan 12 mata maksimum.
Malaysia bermula garang sebaik perlawanan dimulakan apabila mengatur serangan dan menguasai tempo permainan.
Peluang awal hadir seawal minit keempat menerusi sepakan Romel Morales, namun percubaannya berjaya ditampan penjaga gol Laos, Kop Lokphatip.
Laos yang sesekali hadir dengan gerakan hampir mencemaskan penyokong tuan rumah pada minit ke-18 apabila sepakan jarak jauh Damoth Thongkhamsavath dari luar kotak penalti diselamatkan kemas oleh Syihan Hazmi.
Empat minit kemudian, skuad pelawat berjaya mengejutkan Harimau Malaya apabila rembatan jauh Chanthavixay Khounthoumphone terkena Shahrul Saad sebelum bola menerjah gawang untuk meletakkan Laos di depan 1-0.
Malaysia kembali menggandakan tekanan dan hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38, namun sepakan Morales sedikit tersasar ke sebelah kanan gawang lawan.
Gol penyamaan yang ditunggu akhirnya muncul pada minit ke-58 menerusi sepakan percuma cantik daripada Faisal Halim untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Semangat pemain negara terus memuncak apabila Morales meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-64 selepas gerakan satu-dua menarik bersama Arif Aiman Hanapi.
Hanya lima minit berselang, penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu sekali lagi mencetak nama selaku penjaring apabila bola tandukan Dion Cools hasil sepakan penjuru singgah ke kakinya sebelum disudahkan tenang untuk gol ketiga Harimau Malaya.
Malaysia yang tidak mengendurkan asakan berjaya menambah jaringan selepas pemain gantian Laos, Khammanth Thapaseut tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-80, sebelum Paulo Josue menambah derita pelawat dengan jaringan kelima empat minit kemudian.
Kemenangan 5-1 itu mengekalkan Harimau Malaya di tangga teratas Kumpulan F dengan 12 mata, diikuti Vietnam di tempat kedua dengan sembilan mata selepas menewaskan Nepal 1-0.
Laos pula di tangga ketiga dengan tiga mata, manakala Nepal kekal di kedudukan tercorot kumpulan tanpa sebarang mata.
Ringkasan AI
- Harimau Malaya menang besar 5-1 ke atas Laos dalam Kelayakan Piala Asia 2027
- Kemenangan ini memastikan Malaysia kekal tanpa kalah dan teratas Kumpulan F dengan 12 mata
- Malaysia mendominasi permainan dari awal pertandingan
- Gol penyamaan untuk Malaysia dijaringkan oleh Faisal Halim menerusi sepakan percuma pada minit ke-58
- Empat gol tambahan dicetak selepas gol penyamaan, termasuk satu gol sendiri oleh pemain gantian Laos