PEMAIN warisan skuad Harimau Malaya, Nooa Laine menyifatkan kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Shio Hong Wan pada sesi latihan kem Harimau Malaya kali ini bakal mencetuskan persaingan sihat bagi merebut posisi berkenaan.
Menurut pemain warisan Malaysia-Finland itu, persaingan tersebut dilihat bakal membantu meningkatkan lagi prestasi kesebelasan menjelang aksi persahabatan menentang Cape Verde, pasukan yang berada pada ranking ke-72 Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dunia ketika ini.
Malah katanya, setiap pemain yang dipanggil menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya pasti akan berusaha memburu tempat untuk beraksi menentang Vietnam dalam kempen pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 10 Jun depan.
“Saya tidak nampak kehadiran Hong Wan akan menjejaskan peluang saya beraksi dalam kesebelasan utama.
“Sebaliknya, ia akan mencetuskan persaingan sihat bukan sahaja membabitkan Hong Wan, tetapi kita ada Nazmi Faiz Mansor, pemain baharu Muhammad Abu Khalil dan Syamer Kutty Abba.
“Justeru, saya perlu memberikan aksi yang terbaik ketika latihan dan seterusnya membuktikan kepada ketua jurulatih, Peter Cklamovski, bahawa pasukan kebangsaan tetap relevan walaupun persaingan untuk merebut posisi tengah agak sengit,” katanya.
Untuk rekod, Nooa telah membuktikan kehadirannya di posisi tengah memberikan impak besar apabila beraksi secara konsisten membantu skuad negara menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, pada 25 Mac lalu.
Sementara itu, Nooa berkata, beliau sangat teruja apabila dipanggil buat kali kedua setelah aksi pertamanya menentang Nepal pada Mac lalu.
Bagaimanapun, katanya, kem latihan skuad kebangsaan kali ini agak berbeza apabila lebih ramai pemain dipanggil untuk menjalani latihan yang dibahagikan kepada tiga fasa itu.
“Setiap pemain ada tanggungjawab yang diamanahkan oleh jurulatih dan ia sentiasa memberi persaingan kepada setiap pemain untuk merebut tempat dalam skuad utama. Namun, semua pemain harus bekerjasama bagi memastikan matlamat yang disasarkan dapat dicapai.
“Sebelum menentang Vietnam, kami akan berdepan Cape Verde pada 29 Mei ini dan ia merupakan ujian penting buat kami kerana pasukan itu berada di ranking yang lebih baik, pastinya akan memberi saingan dalam aksi persahabatan itu nanti.
“Kami tetap ambil serius untuk aksi menentang pasukan dari benua Afrika itu walaupun sedar ia perlawanan sukar. Namun, ia memberi cabaran buat kami untuk memperkemaskan pasukan dan memberi pendedahan terbaik sebelum menentang Vietnam,” katanya.