Kelibat rakan tak nampak ketika air mulai pasang

Kelibat rakan tak nampak ketika air mulai pasang


KUANTAN – Kunjungan dua sekawan ke pantai di Jeti Balok, di sini bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka hilang dihanyut air pasang dalam kejadian petang semalam.

Leong Wai Seng, 57, dari Kuala Kangsar, Perak dikhuatiri lemas setelah dihanyut air pasang ketika beriadah di pantai di sini kira-kira jam 6.15 petang.

Rakan mangsa, Samuel Ngik, 60 berkata, Wai Seng yang juga merupakan bekas pekerjanya itu datang ke Balok dari Taiping, Perak untuk mencari kerja sejak kira-kira sebulan lalu.

“Dulu dia bekerja dengan saya. Tapi sekarang dia takda kerja. Dia datang sini nak cari kerja dengan saya.

“Semalam sebab anak saya nak main pasir pantai, jadi dia ikutlah datang sekali. Sebelum ni pun dia pernah bawa anak saya main pasir di sini. Tapi sebab semalam saya ikut, dia bebas sikit untuk main air dan berenang,” katanya.

Samuel Ngik

Ketika kejadian, Samuel yang juga pengusaha ladang rumput Napier berkata, dia bersama tiga anak lelakinya berusia antara empat sehingga 11 tahun hanya bermain-main di gigi air yang cetek berikutan kejadian air sedang surut sambil mencari kepah.

Manakala rakannya yang memakai baju berwarna putih berseluar panjang biru gelap itu dilihat berenang di bahagian tengah kuala tersebut berseorangan.

Namun, kelibat rakannya itu tidak kelihatan setelah dia menoleh ketika air mulai pasang.

“Lepas lima minit saya tak nampak dia. Masuk 10 minit pun tak jumpa (kelibat) dia.

“Jadi saya panggil seorang pekerja saya cari dia, ingat dia menyeberang ke sebelah sana. Cari-cari pun tak jumpa. Lepas tu, saya panggil orang kampung untuk cari, tapi sampai sekarang pun tak jumpa,” kata Samuel lagi.

Leong Wai Seng

Susulan itu, dia membuat laporan polis malam tadi untuk mencari mangsa.

Semalam, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.30 malam.

Beliau berkata, seramai 12 orang anggota termasuk Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng bergegas ke lokasi dan mula melaksanakan pencarian di permukaan air.

Sementara itu, Pegawai Operasi JBPM BBP Gebeng, PBK II Jasmin Jusoh memaklumkan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini meliputi dua kilometer sepanjang muara kawasan terbabit.

Pegawai Operasi JBPM BBP Gebeng, PBK II Jasmin Jusoh

“Kita harap hari ini tak hujan lah. Kita masih melakukan pencarian di kawasan muara kerana kita percaya mangsa mungkin masih belum keluar ke laut lepas lagi.

“Kita akan buat pencarian di permukaan dan selaman di sepanjang kawasan muara ni dengan bantuan Maritim, APM dan polis serta orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top