IMPIAN skuad bola sepak negara untuk berada dalam kelompok 100 terbaik dunia bukan angan-angan, sebaliknya ia satu sasaran yang realistik berdasarkan prestasi semasa skuad kendalian Peter Cklamovski itu.
Keyakinan tersebut diluahkan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan yang menyaksikan Malaysia berada di kedudukan terbaik dalam tempoh 19 tahun apabila ketika ini menghuni tangga ke-125 dunia.
Beliau berkata, perkembangan tersebut sangat positif dan sudah tentu misi seterunya adalah untuk membawa Harimau Malaya ke kedudukan yang lebih tinggi selepas ini.
Malah tambah beliau, revolusi Harimau Malaya yang dicetuskan oleh Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail mampu meningkatkan kualiti pasukan kebangsaan pada masa depan.
“Alhamdulillah, ini satu pencapaian yang baik dan membanggakan buat keluarga bola sepak Malaysia.
“Kita teruskan berdoa, Insya-ALLAH akan memperbaiki kedudukan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir skuad negara berada dalam kelompok 120 pasukan terbaik dunia adalah pada November 2005 dengan Harimau Malaya berada di kedudukan ke-116.
Peningkatan pasukan kebangsaan dilihat cukup mendadak dalam tujuh tahun terakhir apabila pernah berada di zaman ‘gelap’ apabila menduduki ranking ke-178 dunia pada Mac 2018.
Justeru Zainal Abidin berharap semua pihak perlu memberi sokongan sepenuhnya untuk memastikan bola sepak negara berada pada tahap tertinggi.
“Bukan sahaja FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), tetapi semua keluarga bola sepak harus memberi sokongan yang baik untuk kita maju.
“Kita sudah ketinggalan di peringkat antarabangsa begitu lama. Insya-ALLAH, dengan kendalian pasukan kebangsaan sekarang ini, kita perlu berasa bangga dan perlu memberi sokongan,” katanya.
Berdasarkan prestasi semasa, pasukan kebangsaan dijangka tidak mempunyai masalah untuk terus mengutip mata ranking yang tinggi terutama apabila bakal mengharungi tiga lagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada tahun ini.
Tiga perlawanan itu adalah saingan bertemu Laos dua kali pada Oktober dan Nepal (November).
Bagaimanapun, Harimau Malaya akan memberikan tumpuan pada aksi Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025. bulan depan apabila diundi dalam Kumpulan B bersama Iran, Tajikistan dan Afghanistan.