July 27, 2024

Keluar awal pagi, pasangan kembar OKU teruja mengundi

Keluar awal pagi, pasangan kembar OKU teruja mengundi


BATANG KALI – Lensa MalaysiaGazette pagi tadi tertumpu kepada pasangan kembar pemegang kad orang kurang upaya (OKU), Muhammad Nazmi Mohd Mazlan dan Muhammad Nazri yang tidak melepaskan peluang untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Pasangan yang menghadapi masalah pembelajaran berusia 25 tahun dari Taman Seri Batang Kali itu mengakui teruja untuk mengundi buat kali kedua dengan keluar seawal jam 7 pagi ke Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali.

Menurut Muhammad Nazmi, beliau bersemangat untuk keluar mengundi kerana mahu menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia untuk memilih pemimpin Ahli l Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

“Ini bukan pengalaman pertama (keluar mengundi) kerana sebelum ini pernah undi (pilihan raya).

“Kami mahu tunaikan kewajipan sebagai rakyat tempatan. Kami pilih keluar awal (pagi) sebab tak nak beratur panjang,” katanya ketika ditemui selepas selesai mengundi bersama kembarnya, Muhammad Nazri.

Muhammad Nazri bagaimanapun hanya tersenyum dengan menunjukkan jari telunjuk yang disapu dengan dakwat kekal.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Seramai 39,269 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi bagi memilih ADUN.

Sebanyak 18 pusat pengundian yang mengandungi 74 saluran mengundi dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top