Keluar BAM: Bukan bermakna badan induk bermasalah – Rexy

Keluar BAM: Bukan bermakna badan induk bermasalah – Rexy


KUALA LUMPUR – Keputusan untuk tidak lagi berada di bawah payung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah hak mutlak pemain, bukannya memberi gambaran badan induk itu bermasalah.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky berkata pemain yang memilih haluan untuk bergelar profesional berkemungkinan sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk masa depan kerjaya mereka.

“Saya harap peminat sukan badminton tanah air dapat melihat perkara ini dari sudut positif kerana mereka masih tetap menjadi wakil Malaysia walaupun sudah bergelar pemain profesional.

“Bukan masalah di BAM. Kita jangan cakap ini tidak bagus sebab pada akhirnya kita nak yang terbaik untuk Malaysia. Mungkin mereka dapat tawaran latihan lebih baik,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di ABM Bukit Kiara, di sini hari ini.

Rexy mengulas mengenai pemain beregu wanita Anna Cheong-Low Yeen Yuen yang dikhabarkan akan meninggalkan skuad negara secara rasmi hujung bulan ini.

Pada 1 Sept lepas, beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani telah mengucapkan selamat tinggal kepada akademi berkenaan.

Menurut Rexy, ABM akan mengadakan satu mesyuarat melibatkan pengurusan tertinggi pada 24 Sept ini bagi membincangkan rombakan barisan kejurulatihan serta keperluan mengecilkan jumlah pemain dalam skuad senior dan remaja kebangsaan.

Sementara itu, Rexy berkata barisan kejurulatihan giat meningkatkan prestasi atlet pelapis yang telah diserap ke dalam skuad senior bagi merapatkan jurang dengan dua gandingan utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M Thinaah.

“Memang dalam kategori beregu lelaki belum ada sama tahap dengan Aaron-Wooi Yik namun mereka sudah nampak hasil manakala pemain beregu wanita baru berusia 16,17 dan 18 tahun, dan masih memerlukan masa,” katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top