Keluar zon selesa, timba ilmu berharga

Keluar zon selesa, timba ilmu berharga


razis@mediaprima.com.my

MEMILIH untuk menetap jauh di bumi asing bukan satu keputusan kecil, apatah lagi apabila membabitkan kerjaya dan masa depan.

Namun, bagi Dr Norazryana Mat Dawi, 40, keberanian untuk melangkah keluar dari zon selesa di tanah air membuka pintu pengalaman yang tidak ternilai.

Anak kelahiran Pontian, Johor itu, kini menetap di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), selepas beberapa tahun berkelana di Kanada dan Republik Czech.

Kini, dia berkhidmat sebagai pensyarah dalam bidang pemasaran di sebuah universiti kerajaan di UAE.

Bidang akademik menjadi medan perjuangan yang mendekatkan dirinya dengan ilmu dan pelajar dari pelbagai latar belakang.

Dr Norazryana berkata, perjalanannya ke luar negara bermula sejak tahun 2019, apabila dia mengikuti suami yang mendapat tawaran bekerja di Kanada.

Katanya, keputusan itu turut didorong keinginan mencari peluang lain dan menimba pengalaman yang lebih luas.

“Alhamdulillah, di Kanada, saya turut menerima tawaran berkhidmat sebagai pensyarah. Dari situlah episod baharu bermula.

“Bukan sekadar menyesuaikan diri, malah saya perlu membina kehidupan dalam persekitaran yang sangat berbeza,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya, keluarga dan rakan-rakan terkejut dengan keputusan besar itu.

“Mereka memang sudah jangka sebab suami saya bukan warganegara Malaysia. Cuma mereka tak sangka kami akan ke Kanada, yang begitu jauh dari tanah air.

“Bagaimanapun, lama-kelamaan, mereka faham dengan keputusan saya dan sekarang saya boleh katakan perjalanan hidup ini sedikit sebanyak memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Akuinya, setiap satu negara yang didiami memberi pengalaman berbeza, baik dari segi budaya mahupun cabaran hidup.

“Antaranya, sejurus tiba di Kanada, dunia dilanda pandemik Covid-19. Pada ketika itu sangat sukar untuk mendapatkan kerja sehingga terpaksa mengambil kursus tambahan bagi memperkukuh kemahiran dan memperkuatkan resume.

“Mencari kerja di negara orang bukan sekadar kelayakan di atas kertas, tetapi nilai tambah yang menjadikan diri lebih menonjol daripada pemohon tempatan,” katanya.

Selain itu, pengalaman bekerja di luar negara turut membuka mata kepada perbezaan budaya kerja.

“Di Kanada, jurang antara pihak atasan dan bawahan sangat kecil dan mereka mengamalkan komunikasi terbuka serta bebas menyuarakan pendapat. Namun, di Republik Czech dan UAE, situasinya lebih konservatif dengan hierarki ketara.

“Walaupun ada perbezaan, namun ia bukan penghalang untuk saya menjalankan tugas yang diamanahkan,” katanya.

Dalam bidang akademik pula, baginya, cabaran paling besar adalah memastikan pelajar terus memberi perhatian di dalam kelas, lebih-lebih lagi apabila ada jurang bahasa.

“Di UAE, bahasa Arab lebih dominan daripada bahasa Inggeris. Jadi, saya perlu pastikan pelajar memahami apa yang saya cakap ketika mengajar supaya mereka dapat mencapai objektif pembelajaran yang ditetapkan,” katanya.

Menyesuaikan diri dengan budaya tempatan juga menjadi perkara utama.

“Dengan keterbukaan menerima perbezaan, masyarakat tempatan lebih menghargai kedatangan saya.

“Semestinya ada kejutan budaya, tetapi tidaklah terlalu besar sehingga memberi kesan teruk pada saya,” katanya.

Dr Norazryana mengakui enam tahun merantau di luar negara banyak mengubah perspektif hidupnya menjadi lebih terbuka untuk menerima perbezaan cara hidup dan pemikiran.

Dia turut menitipkan nasihat kepada wanita yang berhasrat membina kerjaya di luar negara supaya jangan sesekali rasa wanita ada had tertentu.

“Peluang sentiasa ada, cuma kita perlu ada strategi kerana persaingan sangat sengit. Anda perlu pastikan diri ada sesuatu yang luar biasa yang boleh ditawarkan supaya menonjol dalam proses permohonan kerja,” katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, buat masa ini dia masih mahu membina kerjaya di luar negara, namun turut menyimpan hasrat untuk pulang berkongsi pengalaman berharga demi mendidik anak bangsa.

“Pengalaman di negara berbeza memberi nilai tambah dari segi jaringan dengan pendidik dari negara berbeza. Kami dapat berkongsi cara terbaik dalam pengajaran dan penyelidikan.

“Pada masa sama, ia memberi peluang untuk menimba perkara positif yang boleh saya terapkan dalam kehidupan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top