hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Sepang: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, di sini menjadi tumpuan pengamal media dan orang ramai yang berkumpul bagi sama-sama menyambut kepulangan 23 ‘wira’ dan ‘wirawati’ negara yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Kumpulan itu dijangka akan tiba pada 10 malam ini, menaiki penerbangan dari Istanbul, Turkiye yang berlepas pagi tadi.
Lebih 100 individu terutama ahli keluarga aktivis berkenaan berkumpul sambil mengibarkan bendera Palestin dan sesekali terdengar laungan ‘Free Palestin’ dan ‘Allahuakbar’.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilapor akan turut hadir menyambut kepulangan 23 sukarelawan berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Azman Shari’at berkata, pihaknya mempertingkatkan kawalan di lokasi bagi memastikan keselamatan dan kelancaran di terminal berkenaan.
Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan akan menganjurkan himpunan khas bagi meraikan kepulangan sukarelawan berkenaan bagi menyemarakkan solidariti rakyat Malaysia bersama rakyat Palestin.
Pada Khamis lalu, semua 23 peserta GSF itu ditahan tentera rejim Israel selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3 di Laut Mediterranean, seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.
Mereka berjaya dibebaskan dan dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Ramon, Israel pada 6.45 petang waktu Malaysia dan tiba di Istanbul pada 8.40 malam waktu Malaysia, Sabtu lalu.
Rakyat Malaysia yang ditahan ialah penyanyi Heliza Helmi dan adiknya, Nur Hazwani Afiqah yang menaiki kapal Hio; Nurfarahin Romli (Farah Lee) dan Danish Nazran Murad (kapal Grande Blu); penyanyi Zizi Kirana (kapal Huga); Musa Nuwayri, Iylia Balqis dan Sul Aidil (kapal Alma); Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khiruddin dan Rusydi Ramli (kapal Sirius).
Turut ditahan, Razali Awang yang menaiki kapal Inana; pempengaruh Nurul Hidayah Mohd Amin atau lebih dikenali Ardell Aryana (kapal Mikeno); PU Rahmat, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Asmawi Mukhtar dan Norazman Ishak (kapal Estrella).
Selain itu, Zainal Rashid Ahmad dan Ustaz Muhammad Abdullah (kapal Fair Lady) serta Muhammad Hareez Adzrami atau lebih dikenali Haroqs, Muhd Haikal Luqman Zulkefli dan Dr Taufiq Mohd Razif (kapal Free Willy).
Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 45 negara belayar menuju ke Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel, sambil menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.
© New Straits Times Press (M) Bhd