Keluarga pasang tali penghadang, lindungi kubur penuntut UPSI Nurly Sahirah

Keluarga pasang tali penghadang, lindungi kubur penuntut UPSI Nurly Sahirah


am@hmetro.com.my

Besut: Kubur penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Sahirah Azman yang maut dalam nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Tasik Banding, 9 Jun lalu dipasang tali penghadang bagi mengelak sebarang perlakuan yang mengundang khurafat.

Tinjauan wartawan di pusara Allahyarham yang terletak di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini mendapati dua abang serta seorang lagi ahli keluarga bergotong-royong memasang tali penghadang itu pada 6.30 petang, hari ini.

Mereka turut menanam pokok di pusara berkenaan selain meletakkan batu kecil berwarna putih bagi menutupi kawasan tanah pada kubur.

Abang arwah, Mohd Najmuddin Azman, 28, berkata, keluarga mereka terpaksa mengambil tindakan begitu untuk mengelak perkara tidak sepatutnya.

“Langkah ini sebagai usaha untuk mencegah sekiranya berlaku amalan tidak baik di kawasan kubur arwah Nurly.

“Saya juga berpesan kepada orang ramai supaya tidak melintasi tali berkenaan, cukup sekadar berdoa dari luar kawasan tali sahaja.

“Rondaan juga akan dilakukan di kawasan ini secara berterusan kerana ramai pengunjung tidak putus-putus menziarahi kubur arwah sejak dari awal tragedi,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya, sebelum ini dia sudah meletakkan notis pemberitahuan mengenai keperluan menjaga adab ketika menziarahi kubur adiknya, antaranya larangan mengambil apa-apa dari kawasan perkuburan itu.

“Tetapi kali ini kami terpaksa mengambil tindakan lebih tegas,” katanya.

Sebelum ini, hantaran Facebook tular mendakwa ada pengunjung mengambil tanah kubur dipercayai daripada pusara arwah Nurly untuk dibawa pulang, malah ada dakwaan yang mengatakan tanah kubur itu kemudiannya disapu pada muka anak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top