mahaizura@mediaprima.com.my
Shah Alam: Peguam keluarga pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menuntut penjelasan berhubung tindakan pegawai perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) menjalankan bedah siasat ke atas jenazah pemuda itu, 29 Julai lalu.
Peguam Datuk Naran Singh berkata, pihaknya masih menunggu jawapan selepas menghantar tiga surat kepada Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Hospital Kota Tinggi serta Pakar Forensik Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru, minggu lalu dan kelmarin.
Katanya, mereka mahukan penjelasan berikutan ibu Syamsul Haris, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, sudah memaklumkan mahu bedah siasat dijalankan oleh pakar forensik.
“Saya telah hantar surat rasmi minggu lalu kepada Pengarah Hospital Kota Tinggi dan pada masa sama kepada Pakar Forensik di Hospital Sultan Ismail untuk pengesahan siapa beri arahan kepada doktor perubatan dari Hospital Kota Tinggi itu datang buat ‘post mortem’ di Hospital Sultan Ismail? Namun sehingga kini tiada jawapan.
“Jadi, saya menulis surat kepada Menteri Kesihatan dua hari lalu dan masih tunggu jawapan.
“Beritahu kami kenapa pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Kota Tinggi itu jalankan ‘post mortem’ di Hospital Sultan Ismail? Itu jadi tanda tanya kenapa dan sebab apa dia pergi, sedangkan ada pakar di Hospital Sultan Ismail,” katanya kepada media selepas prosiding permohonan larangan sementara terhadap Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan berhubung kematian Syamsul Haris di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Sementara itu, Naran berkata, pihaknya menarik balik permohonan larangan sementara yang dikeluarkan mahkamah supaya Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Kementerian Pertahanan tidak mengulas atau mengeluarkan kenyataan mengenai kes Syamsul Haris.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan memaklumkan, pihak terbabit dan Mohamed Khaled memberi satu aku janji tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan atau membuat ulasan berkaitan kes Syamsul Haris sehingga kes selesai.
“Pagi ini saya telah terima satu surat dengan jelas menyatakan, pihak responden (Mohamed Khaled dan Kementerian Pertahanan) memberi aku janji kepada pemohon (Ummu Haiman), tiada sebarang penyataan atau ulasan lanjut berkenaan dengan siasatan kes ini akan dikeluarkan melalui mana-mana saluran media, media massa, sehingga selesai siasatan polis.
“Ini aku janji yang telah diberi seperti kita pohon,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat kedua dijangka dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan selepas proses itu dijalankan di Hospital Kuala Lumpur, 30 Ogos lalu.
Terdahulu dalam prosiding hari ini, Naran yang mewakili Ummu Haiman memaklumkan mahkamah, pihaknya menarik semula permohonan larangan sementara itu terhadap Mohamed Khaled dan Kementerian Pertahanan berikutan kedua-dua pihak memberikan kerjasama baik apabila menghantar surat aku janji untuk tidak mengeluarkan kenyataan atau ulasan berkaitan dengan kes Syamsul Haris sehingga kes selesai.
Pihak responden melalui Peguam Kanan Persekutuan, Roziza Sidek dan Nor Asma Ahmad turut merakamkan penghargaan kepada pemohon.
Hakim Adlin Abdul Majid kemudian merekodkan kenyataan itu dan membenarkan permohonan terbabit ditarik semula.
Pada 18 September lalu, Adlin mengeluarkan perintah interim selepas membenarkan permohonan Ummu Haiman melalui notis usul yang difailkan 9 September lalu dengan menamakan Mohamed Khaled sebagai responden.
Syamsul Haris, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi, 28 Julai lalu, selepas menjalani latihan di Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram sebelum dikebumikan keesokannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, Selangor.
© New Straits Times Press (M) Bhd






