Keluarga tidur kelaparan mati akibat bedilan Israel

Keluarga tidur kelaparan mati akibat bedilan Israel


Gaza: Tujuh sekeluarga yang tidur dalam keadaan menahan kelaparan terbunuh, selepas kediaman mereka dibedil serangan udara Israel di Bandar Gaza.

Keluarga itu terdiri daripada wartawan bebas, Wala al-Jaabari, suaminya serta lima anak mereka yang masih kecil.

Kesemua mangsa ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa, dan kemudian dibalut kain putih di luar rumah yang ranap.

Nama mereka ditulis menggunakan pen pada kain kafan, manakala kesan darah kelihatan meresap keluar daripada balutan berkenaan pada 23 Julai lalu.

“Ini sepupu saya. Dia baru 10 tahun. Kami mengorek mereka keluar daripada runtuhan,” kata Amr al-Shaer sambil mendukung salah seorang mangsa.

Seorang lagi saudara, Iman al-Shaer berkata, keluarga itu tidak sempat makan malam sebelum serangan berlaku.

“Kanak-kanak itu tidur dalam keadaan lapar,” katanya sambil menahan sebak.

Kejadian itu berlaku pada 23 Julai lalu ketika kebanyakan penduduk tidur di kediaman masing-masing.

Menurut saudara mereka, beberapa jiran hanya terselamat kerana keluar mencari makanan ketika rumah itu dibom.

Serangan ke atas keluarga al-Shaer berlaku ketika Gaza terus dibedil tanpa henti dalam tempoh lebih 24 jam sebelumnya.

Tentera Israel belum memberikan sebarang komen tentang serangan ke atas rumah keluarga al-Shaer.

Bagaimanapun, pihak tentera mendakwa menyerang lebih 120 sasaran di Gaza termasuk terowong, bangunan dan kemudahan yang dikaitkan dengan kumpulan pejuang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top