Kem perseorangan ‘panas badan’ di Denmark

Kem perseorangan ‘panas badan’ di Denmark


Letshanaa (kiri) dan Jun Hao antara pemain disenaraikan sebagai rakan sepelatih sepanjang sesi latihan di Copenhagen.

SKUAD perseorangan badminton negara akan ‘singgah’ selama seminggu di Denmark sebelum terbang ke Paris untuk menyertai Kejohanan Dunia bermula 25 Ogos hingga 1 September ini.

Ia sebagai persediaan buat dua pemain utama, Leong Jun Hao dan K Letshanaa, manakala Justin Hoh turut disenaraikan sebagai rakan sepelatih sepanjang sesi latihan di Copenhagen yang turut disertai pemain kebangsaan Denmark.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Kenneth Jonassen berkata, program latihan di Eropah itu bagi memperkemaskan lagi gaya permainan mereka.

Malah katanya, latihan di negara itu juga dapat membantu menyesuaikan diri dengan zon masa serta cuaca menjelang kejohanan di Paris.

“Kami ada buat permintaan kepada skuad kebangsaan Denmark untuk berlatih di Pusat Latihan Kebangsaan mereka. Ini satu peluang yang sangat baik untuk pemain kita berlatih dengan rakan bertaraf tinggi,” katanya.

Jurulatih dari Denmark itu menyifatkan negara tersebut memiliki ramai pemain berkualiti dan ia menjadi platform terbaik buat pemain negara meraih rakan sepelatih yang kompetitif.

“Jadi peluang berlatih di sana sangat berguna untuk kami ubah sedikit pendekatan latihan dan beri variasi kepada pemain.

“Kami masih ada tiga minggu di sini sebelum berlepas. Latihan di Denmark akan berlangsung selama seminggu dan menjadi sebahagian strategi mempercepat proses adaptasi,” ujar Jonassen.

Sebagai rekod, pada edisi 2023 di Copenhagen, Denmark, Malaysia meraih satu pingat gangsa menerusi gandingan beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.



Source link

OR

Scroll to Top