Kemakmuran dalam sangkar emas

Kemakmuran dalam sangkar emas


Pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengenai penubuhan Lembaga Keamanan Gaza minggu lalu telah menghantar gelombang kejutan melalui koridor diplomasi antarabangsa, namun di jalanan Gaza yang musnah, ia disambut dengan kesunyian yang penuh syak wasangka.

Beberapa media antarabangsa menyifatkan langkah berkenaan sebagai ‘berani’, namun ‘angkuh’.

Di bawah visi Trump, Gaza tidak lagi dilihat sebagai isu hak asasi manusia atau perjuangan pembebasan nasional, sebaliknya ia dilayan sebagai sebuah syarikat yang muflis yang memerlukan penstrukturan semula korporat.

Lembaga Keamanan ini, mengikut dokumen yang dibocorkan, akan berfungsi sebagai badan tadbir urus tertinggi yang memegang kunci kepada tabung pembangunan bernilai berbilion ringgit.

Fokus utamanya adalah jelas iaitu ekonomi. Trump percaya bahawa kesejahteraan material boleh memadamkan api ideologi yang telah membara selama tujuh dekad.

Fungsi pertama lembaga ini adalah untuk mengutip ‘yuran penyertaan’ daripada negara kaya.

Setiap negara yang ingin kerusi dalam lembaga ini dikehendaki menyumbang sekurang-kurangnya AS$1 bilion dalam Tabung Pembangunan Gaza.

Ini adalah model diplomasi transaksional yang tulen. Siapa yang membayar, dia yang menentukan hala tuju.

Dari segi hala tuju, lembaga ini merancang untuk membahagikan Gaza kepada beberapa zon ekonomi khas yang akan diuruskan oleh kontraktor swasta antarabangsa.

Bayangkan sebuah pelabuhan laut dalam yang moden, dikelilingi oleh zon pemprosesan eksport, di mana tenaga kerja murah Gaza akan membekalkan produk ke pasaran Eropah dan Teluk.

Trump menjanjikan ‘Riviera Mediterranean’ yang baharu. Visual yang ditayangkan menunjukkan hotel mewah di atas tanah di mana kem pelarian pernah berdiri teguh sebagai simbol ketahanan.

Namun, ini titik pertembungan naratif yang paling tajam iaitu pembangunan tanpa kedaulatan.

Lembaga Keamanan ini dirancang untuk beroperasi tanpa keperluan mengakui negara Palestin yang merdeka.

Bagi Trump dan sekutu teknokratnya, ‘keamanan’ bermaksud ketiadaan konflik bersenjata yang dicapai melalui kawalan ekonomi yang ketat, bukan melalui penyelesaian politik dua negara.

Adakah ia benar-benar boleh berfungsi membangunkan semula Gaza? Secara fizikal, jawapannya mungkin ya. Dengan modal yang cukup, bangunan boleh dibina semula dalam masa beberapa tahun.

Tetapi, sejarah Timur Tengah membuktikan berkali-kali bahawa kestabilan yang dibina di atas perut yang kenyang, tetapi jiwa yang terjajah adalah kestabilan yang rapuh.

Lembaga ini juga memegang fungsi sebagai penapis keselamatan. Mana-mana penduduk Gaza yang ingin bekerja di projek di bawah seliaan lembaga ini mesti melalui tapisan biometrik yang dikongsi dengan agensi keselamatan antarabangsa.

Ini menimbulkan kebimbangan mengenai ‘penjajahan teknologi’ di mana kemudahan ekonomi diberikan sebagai pertukaran kepada penyerahan privasi dan kebebasan bergerak.

Jika ditanya kepada penduduk Gaza mengenai kemahuan mereka, tiada siapa yang mahukan pusat beli-belah, tetapi mereka mahukan maruah, hak pulang dan kebebasan.

Lembaga ini hanya menawarkan ‘kemakmuran dalam sangkar emas’, namun menyekat ‘kebebasan’ mutlak penduduk Gaza di tanah tumpah mereka sendiri.

Salah satu kesan daripada rancangan yang digariskan bertujuan meminggirkan peranan PBB, khususnya UNRWA yang selama ini menjadi tulang belakang bantuan kepada pelarian Palestin.

Dengan menggantikan bantuan kemanusiaan kepada pelaburan korporat, lembaga ini cuba menghapuskan status ‘pelarian’ secara sistematik melalui asimilasi ekonomi ke dalam pasaran buruh.

Kekuatan utama pelan ini adalah kepantasannya. Trump mahu ‘Gaza Baharu’ dalam tempoh 48 bulan, satu garis masa yang mustahil bagi birokrasi PBB yang perlahan.

Namun, kepantasan sering kali mengorbankan ketelusan. Tanpa mekanisme semak dan imbang, Gaza berisiko menjadi pusat kronisme bagi syarikat yang mempunyai kaitan politik dengan Washington.

Hala tuju lembaga ini juga sangat bergantung kepada normalisasi hubungan antara Israel dengan negara Arab sebagai pemangkin perdagangan serantau.

Akhirnya, Lembaga Keamanan ini adalah satu pertaruhan besar yang mempertaruhkan materialisme mengatasi nasionalisme.

Tidak dapat dinafikan bahawa Gaza sememangnya sangat memerlukan pembangunan semula, namun kemajuan tanpa kebebasan politik hanya sebuah penjara yang dicat dengan warna kemakmuran palsu.

Apabila diajukan soalan sama ada Lembaga Keamanan ini mampu membangunkan semula Gaza, jawapannya bergantung kepada siapa yang menjawab soalan itu.

Jika ditanya kepada arkitek atau pelabur dari Washington, jawapannya adalah ‘ya’.

Namun, jika soalan sama ditanya kepada balu yang membesarkan anak seorang diri, jawapannya pasti berbeza.

“Adakah saya akan menjadi tuan di tanah sendiri atau sekadar pekerja pembersihan di hotel mewah yang dibina di atas kubur keluarga saya?”

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top