harisfadli@hmetro.com.my
Kajang: Kegagalan brek dipercayai punca kemalangan membabitkan lori muatan barangan lusuh dan beberapa kenderaan yang mengorbankan bayi lelaki di Plaza Tol Bukit Kajang, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, lelaki tempatan berusia 42 tahun yang memandu lori itu ditahan reman bagi membantu siasatan.
“Semakan rekod mendapati suspek memiliki dua rekod jenayah lampau, satu rekod kesalahan dadah dan mempunyai empat saman trafik.
“Ujian saringan awal air kencing dan alkohol dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu negatif penggunaan dadah dan tidak berada bawah pengaruh alkohol,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan berat dipandu suspek di Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) dari arah Semenyih ke Putrajaya mengalami masalah brek ketika tiba di lokasi kejadian.
Katanya, hal itu menyebabkan suspek gagal mengawal kenderaan lalu merempuh tiga kenderaan lain yang sedang menunggu giliran di lorong ke lapan dan ke sembilan di Plaza Tol Bukit Kajang.
“Akibat dari kejadian tersebut, mangsa bayi lelaki berusia 1 tahun 4 bulan meninggal dunia di tempat kejadian dan tujuh lagi mangsa sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kajang, Serdang dan KPJ Kajang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Raziman Rasid dan talian 019-4565502 atau berhubung dengan balai berhampiran,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd