Kemalangan ragut bahagia, Nur Ashyikin kini terlantar

Kemalangan ragut bahagia, Nur Ashyikin kini terlantar


am@hmetro.com.my

Besut: Dalam sekelip mata semuanya berubah apabila Nur Ashyikin Mohd Suhaimi yang dahulunya seorang ceria dan lincah, kini hanya terlantar tiada reaksi.

Remaja berusia 15 tahun dari Kampung Pulau Panjang itu berkeadaan demikian selepas terbabit kemalangan pada 5 Disember lalu.

Ibunya, Nor Maliani Rahmat, 44, berkata, ketika kejadian, anaknya yang menunggang motosikal mahu menyeberangi jalan apabila sebuah kereta merempuhnya di Kampung Jawek.

Sejak itu katanya, Nur Ashyikin sudah tidak lagi seperti dahulu susulan kecederaan dialami di kepala selain patah tangan dan kaki serta bahagian lain.

“Dia anak yang sangat ceria dan kami amat rapat kerana dia satu-satunya anak perempuan (daripada tiga beradik) dalam keluarga.

“Akibat kemalangan itu, Ashyikin dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan selama dua minggu dan menjalani pembedahan di kepala.

“Selepas stabil, dia dibenarkan pulang namun dalam tempoh seminggu terpaksa dimasukkan semula ke wad kerana sawan dan disahkan ada cecair di kepala,” katanya ketika ditemui.

Nor Maliani berkata, dalam prosedur rawatan juga tempurung kepala Nur Ashyikin pernah dikeluarkan sementara.

Kini remaja itu tidak lagi boleh mengurus diri dan terpaksa bergantung sepenuhnya terhadap jagaan ahli keluarga.

“Dia juga bergantung kepada susu yang diberikan lima kali sehari dan setiap tin seberat 800gram berharga RM120 hanya dapat bertahan dua hari sahaja.

“Saya tidak bekerja kerana perlu menjaganya setiap masa manakala suami (Mohd Suhaimi Mohd Salleh, 45) hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu,” katanya yang memaklumkan ketika ini mereka menumpang di rumah keluarga.

Nor Maliani mengakui jauh di sudut hatinya mahu melihat anak kesayangan kembali sihat seperti biasa namun tetap reda atas ketentuan Ilahi.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Nor Maliani Binti Rahmat 1199541100176360.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top