Cabaran Masters China, Wooi Yik (kiri)-Aaron terhenti di separuh akhir pada Sabtu. Foto: Agensi
BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, menampilkan semangat juang tinggi sebelum terpaksa akur tersingkir di pentas separuh akhir Masters China pada Sabtu.
Dalam aksi Super 750 yang berlangsung di Shenzhen Arena, gandingan pilihan kedua negara itu bermandi peluh menentang musuh tradisi dari India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty, namun tumpas 17-21, 14-21 dalam pertarungan selama 41 minit.
Set pertama menyaksikan Aaron–Wooi Yik tampil agresif sejak awal dengan corak permainan penuh keyakinan, memberi tekanan kepada gandingan pilihan ketujuh dunia itu sebelum tunduk tipis 17-21.
Bersambung set kedua, beregu negara cuba bangkit mencari rentak, namun Satwiksairaj-Chirag tidak lagi memberi ruang untuk mereka bangkit.
Sebaliknya Satwiksairaj-Chirag mengawal gelanggang sepenuhnya sebelum menamatkan cabaran Malaysia 21-14.
Sebagai rekod, pada edisi 2024, langkah Aaron–Wooi Yik hanya mampu bertahan di suku akhir selepas tewas kepada beregu tuan rumah, He Jiting–Ren Xiangyu, 23-25, 21-17, 12-21.
Ringkasan AI
- BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, tersingkir di pentas separuh akhir Masters China
- Gandingan pilihan kedua negara itu tumpas 17-21, 14-21 menentang musuh tradisi dari India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty
- Aaron–Wooi Yik tampil agresif sejak awal set pertama tetapi tunduk tipis 17-21
- Dalam set kedua, cuba bangkit namun lawan mengawal gelanggang sepenuhnya menamatkan cabaran Malaysia 21-14
- Pada edisi 2024, Aaron–Wooi Yik hanya mampu bertahan di suku akhir