Cabaran Man-Tee di Jerman terhenti pada separuh akhir. Foto Agensi.
IMPIAN beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun untuk melangkah ke pentas akhir Terbuka Hylo Super 500 tidak kesampaian selepas tewas kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani, dalam aksi separuh akhir di Saarlandhalle Saarbrücken pada Sabtu.
Gandingan Indonesia itu tampil lebih kemas dan konsisten sepanjang perlawanan untuk menamatkan cabaran beregu negara dalam straight set, 21-16, 21-15, hanya dalam masa 34 minit sekali gus mencatat kemenangan ketiga dalam empat pertemuan mereka setakat ini.
Kekalahan tersebut menutup kemaraan cemerlang Man-Tee yang sebelum ini mencuri perhatian apabila menyingkirkan pasangan pilihan dari Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri di peringkat suku akhir.
Dalam perlawanan penuh debar itu, pasangan muda negara beraksi berani dan tenang di saat genting untuk menamatkan saingan dengan kemenangan straight set, 26-24, 21-19, selepas pertarungan sengit selama 44 minit sekali gus merekodkan kemenangan pertama ke atas lawan yang berada pada ranking lebih tinggi.
Namun, langkah mereka terhenti di tangan Sabar Karyaman–Moh Reza yang sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila menumbangkan juara dunia 2022, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, dalam saingan suku akhir.
Pasangan Indonesia itu bangkit selepas tewas set pertama untuk memenangi aksi tersebut, 11-21, 21-14, 21-17, dalam tempoh 56 minit, sebelum meneruskan momentum hebat menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia di pentas separuh akhir.
Ringkasan AI
- Impian beregu badminton lelaki negara, Man Wei Chong–Tee Kai Wun untuk mara ke final Terbuka Hylo Super 500 gagal
- Mereka tewas kepada pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama–Moh Reza Pahlevi Isfahani dalam straight set
- Pasangan Indonesia itu menamatkan cabaran beregu negara dalam masa 34 minit dengan skor 21-16, 21-15
- Man-Tee mencatat kemenangan menentang pasangan dari Indonesia, Fajar Alfian–Muhammad Shohibul Fikri di suku akhir sebelum tewas di semifinal
- Pasangan Sabar Karyaman–Moh Reza sebelumnya menyingkir juara dunia 2022, Aaron Chia–Soh Wooi Yik, di suku akhir






