Schar penjaring gol kemenangan Newcastle ketika menjinakkan Wimbledon, 1-0 dalam aksi pusingan ketiga Piala Liga di Stadium St Jame’s Park. Foto Agensi
KEMARAAN Newcastle United ke Pusingan Keempat Piala Liga dibayar harga mahal apabila dijangka terpaksa melupakan khidmat beberapa pemain utama menjelang kunjungan aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Everton di Stadium Goodison Park, pada Ahad.
The Magpies kendalian Eddie Howe mengesahkan kemaraan selepas menjinakkan kelab Divisyen Satu, AFC Wimbledon, 1-0 dalam aksi pusingan ketiga di Stadium St Jame’s Park.
Bagaimanapun tuan rumah berkemungkinan kehilangan penjaring gol kemenangan, Fabian Schar yang dikeluarkan pada minit ke-90 biarpun pertukaran lebih kepada pendekatan taktikal gergasi liga Inggeris berkenaan.
Kelibat Nick Pope di gawang gol juga samar apabila berdepan masalah lutut, biarpun dia diharap mengikuti rombongan ke Goodison Park.
Ketiadaan Pope, menyaksikan Martin Dubravka bakal membuat permulaan pertama musim ini tetapi terpaksa dikeluarkan pada separuh masa selepas bertembung dengan penyerang Wimbledon, Omar Bugiel.
“Dubravka mengalami kecederaan teruk. Kami berharap dia baik-baik saja, tetapi kami akan tunggu dan lihat bagaimana perkembangan dia.
“Kami juga berdepan dengan situasi pemain yang keletihan pada penghujung perlawanan tetapi diharapkan tiada kecederaan besar,” kata Howe.
Sementara mengenai Schar, Howe berkata: “Mudah-mudahan dia baik-baik saja.”
Schar akan dinilai dengan teliti dalam 48 jam begitu juga Pope.
“Kami tidak fikir ia serius, ia hanya bengkak pada lututnya. Kami berharap dia akan cergas untuk perjalanan ke Goodison Park.”
PIALA LIGA
PUSINGAN KEEMPAT
29 OKTOBER
Newcastle United lawan Chelsea
30 OKTOBER
Southampton lwn Stoke City
Brentford lawan Sheffield Wednesday
31 OKTOBER
Brighton lawan Liverpool
Preston lawan Arsenal
Manchester United lawan Leicester City
Aston Villa lawan Crystal Palace
Tottenham Hotspur lawan Manchester City