Kemas kini pelaksanaan audit ikut garis masa baharu – MFL

Kemas kini pelaksanaan audit ikut garis masa baharu – MFL


firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berharap pengurusan kelab liga tempatan mengemaskini pelaksanaan audit mengikut garis masa baharu.

Jelas Shazli, pemberian lesen bersyarat kepada tiga kelab iaitu PDRM FM, Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada bulan lalu adalah disebabkan kegagalan audit masing-masing.

Katanya, kelab berkenaan menghantar laporan audit mengikut jadual lama Liga Malaysia (Liga M) dari awal hingga hujung tahun sedangkan saingan domestik sudah mengubah konsep dua tahun daripada pertengahan tahun kepada pertengahan tahun berikutnya.

Lantas, disebabkan itu kelab berkenaan diberi lesen bersyarat dan perlu melengkapkan dokumen hingga 31 Mei lalu, akhirnya mereka berjaya sekali gus menerima penuh Lesen Kebangsaan baru-baru ini.

“Ada tiga pasukan yang dapat kelulusan bersyarat PDRM, KDN FC dan pasukan KL City FC. Namun begitu perkara-perkara dokumen yang perlu diserahkan dan dikemukakan kepada MFL lebih bersifat dalaman dan tidak membabitkan hingga ke peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).

“Dokumen adalah laporan audit daripada tahun yang sebelumnya, di mana banyak audit-audit ini mengamalkan konsep Januari ke Disember sedangkan liga kita ini sudah dua musim.

“Oleh kerana itu, audit-audit ini tidak dapat dikeluarkan dalam tempoh diberikan. Namun kelab juga di dalam klausa-klausa turut ada mengatakan bahawa, untuk kelab kemas kini status kelab pada laporan berkenaan.

“Hanya perkara itu yang menyebabkan tiga kelab tak dapat lesen kebangsaan dan sekarang semua sudah dapat,” katanya.

Menjelang musim baharu Liga M 2025/2026, sebanyak 13 kelab mengesahkan akan berentap di mana Sri Pahang FC dilaporkan menarik diri ekoran masalah dalaman.

Johor Darul Ta’zim (JDT) mengetuai 13 kelab dalam Liga Super dengan selebihnya babitkan Selangor FC, Sabah FC, Kuching City FC, Terengganu FC, Penang FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, KL City FC, KDN FC termasuk dua pasukan baharu, Melaka FC dan Imigresen FC serta kelab jemputan, Brunei DPMM FC.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top