Kematangan senjata Cobra Blacks B-15 di MD 10s

Kematangan senjata Cobra Blacks B-15 di MD 10s

Kematangan senjata Cobra Blacks B-15 di MD 10s


PENGALAMAN berharga di Kejohanan Piala Ketua Menteri Melaka 2025 ternyata menjadi pemangkin buat skuad muda Akademi Cobra, Cobra Blacks, untuk menakluk Kejohanan Ragbi Hari Malaysia 10 Sebelah (MD 10s) di Padang Victoria Institution, Kuala Lumpur.

Cobra Blacks muncul juara kategori Bawah 15 (B15) tahun selepas menundukkan Akademi Ragbi Venom Frog (Venom) 7-5 dalam final dramatik yang penuh taktikal dan disiplin tinggi.

Menurut Ketua Jurulatih Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar, saingan di Stadium Hang Tuah, Melaka sebelum ini mematangkan corak permainan sekali gus membantu mereka mengendalikan aksi berintensiti tinggi dalam MD 10s.

“Alhamdulillah, syukur pemain-pemain berjaya menterjemahkan setiap perancangan taktikal biarpun ditekan hebat. Pengalaman di Melaka banyak membentuk karakter dan disiplin, malah mereka tetap fokus dengan rentak sendiri meskipun berdepan lawan lebih pantas, kuat serta berbakat,” katanya.

Dalam perlawanan akhir itu, Venom terlebih dahulu mempamerkan kualiti dengan mengasak kubu Cobra Blacks hampir keseluruhan babak pertama.

Namun, skuad kendalian Fakhrul Akmal Alias kekal tenang dan berdisiplin sebelum bangkit pada detik tepat untuk mencipta kemenangan.

Ironinya, Cobra Blacks sebelum itu tewas 0-10 kepada lawan sama di peringkat kumpulan, tetapi bangkit garang dengan dua kemenangan besar ke atas Sekolah Bintang Utara (21-0) dan Victoria Institution (20-0).

Di separuh akhir, mereka mara ke final selepas diisytiharkan pemenang ke atas Panthers 11 apabila berjaya melakukan try pertama tatkala perlawanan terikat 12-12.

Sementara itu, Fakhrul Akmal, menegaskan kejayaan itu adalah hasil kekuatan mental dan semangat juang tinggi pemain, selain pertahanan mantap yang menjadi benteng utama pasukan.

“Walaupun pernah tewas kepada pasukan sama, pemain tidak patah semangat. Mereka bangkit dengan disiplin serta keazaman luar biasa. Terima kasih kepada Datuk Aldillan, jurulatih bersama Saiful Azwan Baderi, pengurusan serta ibu bapa atas sokongan tidak berbelah bahagi,” katanya.

Kejayaan skuad B15 ini turut menjadi kesinambungan kecemerlangan Akademi Cobra selepas pasukan B16 meraih gelaran Plate pada Kejohanan Kuala Lumpur Highland Games 2025 di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, hasil kemenangan 10-0 ke atas Kelab Ragbi Bukit Jelutong.

Ringkasan AI

  • PENGALAMAN berharga di Kejohanan Piala Ketua Menteri Melaka 2025 menjadi pemangkin Cobra Blacks menakluk MD 10s
  • Cobra Blacks juara kategori Bawah 15 tahun dengan menundukkan Akademi Ragbi Venom Frog 7-5
  • Ketua Jurulatih Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar menyatakan pengalaman di Melaka matangkan corak permainan
  • Venom mendominasi babak pertama namun Cobra Blacks bangkit dengan disiplin tinggi untuk menang
  • Kejayaan ini hasil kekuatan mental, semangat juang tinggi pemain dan pertahanan mantap



Source link

OR

Scroll to Top