Kematian anak akibat kecuaian wajar didakwa di mahkamah

Kematian anak akibat kecuaian wajar didakwa di mahkamah


lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ibu bapa yang kematian anak akibat terjatuh dari balkoni rumah atau lemas wajar disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika terbukti berlaku pengabaian terhadap anak.

Perkara ini dilontarkan Profesor Undang-undang Keluarga, Wanita dan Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau berkata, ibu bapa tidak terkecuali daripada disiasat dan didakwa di mahkamah atas sebab kecuaian atau pengabaian yang mendedahkan anak kepada kecederaan fizikal, atau situasi lebih buruk menyebabkan kematian.

“Dalam kes pengabaian, pendakwa raya hanya perlu membuktikan bahawa ibu atau bapa yang dituduh itu terlepas pandang tidak menjaga keselamatan anak hingga menyebabkan perkara (kecederaan fizikal) itu berlaku, apatah lagi jika anak itu ditemui dalam keadaan meninggal dunia.

“Kes pengabaian ada banyak dan sejumlah besar daripadanya sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa, serta dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

“Jadi saya rasa memang boleh kes-kes yang lain juga sepatutnya, betul jika pengabaian dapat dibuktikan, maka ia patut didakwa mengikut akta yang sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen Petaling menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin iaitu Ismanira Abdul Manaf, 30, selepas didapati bersalah mengabaikan anak lelakinya, dua tahun lalu.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Syahliza turut menolak permohonan peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan untuk menangguhkan hukuman sementara memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam pada itu, Noor Aziah menasihati masyarakat supaya memberikan bantuan dan sokongan moral kepada ibu bapa yang mempunyai anak autistik.

“Kecuaian pengabaian ini memang tak dapat menerimanya. Namun, kita masih merasakan bahawa ada pihak yang lebih berkewajipan dalam hal ini dan ada orang yang mesti dipertanggungjawabkan atas kematian anak ini.

“Apa yang menyebabkan dia meninggal dunia, adakah dia dibunuh dan siapakah yang membunuh,” katanya.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam.

Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top