Kematian Zara Qairina tidak babitkan cucu TYT, isteri menteri – Saifuddin Nasution

Kematian Zara Qairina tidak babitkan cucu TYT, isteri menteri – Saifuddin Nasution


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siasatan polis terhadap kematian Zara Qairina Mahathir, 13, mendapati ia tidak mempunyai kaitan dengan cucu Yang Dipertua Negeri Sabah atau kedudukan pengetua sekolah selaku isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ia adalah berdasarkan hasil siasatan membabitkan 195 saksi yang dipanggil sebelum ini.

Beliau berkata, hasil siasatan turut tidak menemui bahawa mangsa maut akibat didera di dalam mesin basuh.

“Siasatan kita menyeluruh dan terperinci dan untuk kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu pada waktu itu sudah timbul beberapa kenyataan seperti yang terbabit adalah cucu kepada TYT.

“Pengetua adalah isteri menteri dan cara mati didera di mesin basuh…keadaan itu sudah jadi toksik seperti itu sekali.

“Namun siasatan polis tidak menemui semua itu. Tiada sama sekali hasil keterangan 195 saksi. Tidak ada sama sekali,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Zara Qairina iaitu pelajar Tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Sabah, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia sehari selepas itu.

Pada masa sama, Saifuddin Nasution menegaskan keadilan dan kebenaran perlu berdasarkan kepada fakta dan proses undang-undang yang sah dan bukannya fakta separuh masak, tuduhan rambang atau sentimen emosi semata-mata.

Mengambil contoh sebuah video yang tular kononnya Zara Qairina mati akibat didera di dalam mesin basuh, ia adalah suatu bentuk dakwaan jahat.

Beliau berkata, malah selepas penahanan individu iaitu seorang guru Bahasa Inggeris yang memuat naik video kononnya mangsa dimasukkan di dalam mesin basuh itu sehingga tular, pendidik itu mengakui ia hanya sekadar content atau pengisian.

“Kita tolak jika ada sentimen mainan politik dan spekulasi atau dakwaan jahat. Kita tahan seorang guru yang membuat content di TikTok bahawa adik Zara dibunuh dengan cara dimasukkan ke dalam mesin basuh.

“Bila kita soal siasat kenapa buat begitu? Jawabnya ‘saya hendak buat content sahaja. Tetapi content itu ditelan bulat-bulat oleh sebahagian besar rakyat,” katanya.

Beliau berkata, guru terbabit sudah ditahan dan akan dituduh jika mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara (AGC).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top