lizamridzuan@hmetro.com.my
SKUTER pengembaraan ini sememangnya antara yang paling ‘hot’ dalam pasaran kerana permintaan terhadapnya sangat tinggi melebihi penawaran.
Ia menawarkan ciri fleksibel dalam penggunaan harian serta kebolehan meneroka laluan bandar dan lasak sederhana.
Untuk itu Honda X-ADV 2025 hadir dengan pelbagai peningkatan dari segi teknologi, prestasi dan reka bentuk bagi memenuhi keperluan penunggang yang mahukan keseimbangan antara keselesaan dan ketangkasan.
Model ini masih mengekalkan identiti sebagai skuter ‘adventure’ yang unik, tetapi dengan beberapa ciri baharu yang menjadikannya lebih moden dan praktikal.
Antara ciri utama diperkenalkan adalah sistem human machine interface (HMI) yang lebih intuitif, dilengkapi kawalan pelayaran untuk perjalanan yang lebih selesa di lebuh raya.
Selain itu, skrin paparan TFT bersaiz 5 inci kini menyokong Honda RoadSync, membolehkan penunggang mengakses navigasi, panggilan telefon dan muzik dengan lebih mudah.
Daripada segi keselamatan, skuter ini dilengkapi lampu nyalaan siang (DRL) bagi meningkatkan penglihatan pengguna lain, serta Automatic Turn Signal Canceller yang membantu mengelak isyarat lampu membelok dibiarkan menyala terlalu lama.
Sistem Throttle-By-Wire (TBW) juga ditambah baik untuk kawalan pendikit yang lebih lancar dan responsif dan model ini masih menggunakan transmisi klac berkembar (Dual Clutch Transmission – DCT).
Selain lebih lancar dalam penukaran gear, ia menjadikannya sesuai untuk perjalanan dalam bandar mahupun laluan luar lasak sederhana dan Sistem Kunci Pintar Honda Smart Key membolehkan operasi motosikal lebih mudah dihidupkan tanpa kunci fizikal.
Untuk aspek praktikal, ruang simpanan di bawah tempat duduk kini lebih luas menjadi 22 liter dan dilengkapi port USB Type-C, memudahkan pengguna mengecas peranti semasa dalam perjalanan.
Rekaan cermin pelindung angin yang boleh dilaras membantu memberi perlindungan lebih baik terhadap angin dan hujan.
X-ADV 2025 mengekalkan unit enjin 745cc sejukan cecair SOHC silinder berkembar selari dengan kuasa 57.8 kuasa kuda (hp) pada 6,750 rpm dan tork 69Nm pada 4,750 rpm sesuai dan ideal untuk perjalanan jauh dan penggunaan harian.
Sistem bahan api dan transmisi dikemaskini untuk memberi prestasi lebih baik tanpa mengorbankan kecekapan bahan api.
Rangka motosikal direka untuk ketahanan dan kestabilan dengan sistem suspensi yang mampu menyerap hentakan dengan baik serta brek cakera hadapan dan belakang dengan sistem brek anti-kunci (ABS) dwi-saluran memastikan cengkaman lebih selamat, terutama di permukaan jalan licin atau tidak rata.
Antara aspek menarik adalah penggunaan DurabioT, sejenis bahan biojisim lebih mesra alam sebagai antara usaha Honda mengurangkan jejak karbon dan menggunakan bahan lebih lestari dalam pengeluaran motosikal mereka.
X-ADV 2025 ditawar dalam beberapa warna baharu iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White, Graphite Black yang ditawarkan pada harga RM69,999 dan Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.
© New Straits Times Press (M) Bhd