Wilkin (kanan) meraikan jaringan pertama pasukan negara. FOTO: FAM
HARIMAU Malaya membuka kempen Kumpulan A Piala ASEAN dengan keputusan seri 2-2 menentang Kemboja dalam aksi di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad.
Kedua-dua pasukan memperagakan rentak permainan berhati-hati pada permulaan perlawanan dengan peluang kebanyakannya terhasil melalui rembatan dari luar kotak penalti.
Biarpun permainan agak hambar, skuad kendalian Pau Marti Vicente itu berjaya membuka tirai jaringan menerusi Stuart Wilkin yang bijak menanduk hantaran daripada Daniel Ting pada minit ke-34.
Kemboja berjaya mendapatkan gol penyamaan pada minit ke-52 selepas kesilapan dilakukan pertahanan negara sebelum bola disambar oleh Sokyuth Kim dan disudahkan oleh jaringan Coulibaly Abdel Kadir.
Bagaikan mendapat suntikan semangat, tuan rumah menggandakan kedudukan tujuh minit kemudian melalui jaringan pemain gantian, Ty Sa yang mudah menyudahkan hantaran sepakan penjuru Yudai Ogawa.
Malaysia yang cuba mengasak untuk kembali mengikat kedudukan akhirnya berhasil pada minit ke-74 menerusi rembatan jauh daripada Fergus Tierney.
Skuad kendalian Pau Marti itu mendominasi perlawanan pada 10 minit terakhir perlawanan, namun gagal mencari gol kemenangan untuk sekadar berpuas hati dengan satu mata.
Selepas ini, skuad negara akan menentang Timor-Leste dalam aksi kedua pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil, manakala Kemboja pula akan berdepan Singapura di laman lawan.