Pemain FC Noah Yan Eteki (kiri) cuba merebut bola daripada pemain Chelsea, Samuel Rak-Sakyi dalam aksi Liga Persidangan UEFA pada Jumaat. Foto AFP
CHELSEA melakar rekod baharu dalam Liga Persidangan UEFA selepas mencatatkan kemenangan besar 8-0 ke atas pasukan Armenia, FC Noah di Stamford Bridge pada Jumaat.
Joao Felix dan Christopher Nkunku masing-masing menjaringkan dua gol selain Tosin Adarabioyo, Marc Guiu, Axel Disasi dan Mykhailo Mudryk turut mencetak nama selaku penjaring dalam kemenangan terbesar sejarah pertandingan itu.
Kemenangan terbesar yang pernah dicatatkan dalam kejohanan tersebut yang bermula pada 2021 ialah enam gol.
Keputusan itu juga menyamai kemenangan kedua terbesar dalam sejarah Chelsea.
Kemenangan terbesar kelab itu kekal dengan kemenangan 13-0 ke atas pasukan Luxembourg, Jeunesse Hautcharage pada tahun 1971.
Chelsea menduduki tangga teratas Liga Persidangan ketika ini dengan maksimum sembilan mata daripada tiga perlawanan.
“Pemain sekali lagi menunjukkan betapa profesional dan seriusnya mereka.
“Bola sepak penuh dengan kejutan. Apa yang saya harapkan daripada mereka sebelum perlawanan adalah untuk menunjukkan betapa seriusnya kami dan mereka membuktikannya,” kata pengendali, Chelsea Enzo Maresca.