Kemenangan BN bukti sokongan rakyat kekal kukuh di Kinabatangan

Kemenangan BN bukti sokongan rakyat kekal kukuh di Kinabatangan


am@hmetro.com.my

Kinabatangan: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag adalah penanda aras jelas sokongan rakyat kekal utuh bersama BN.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata kejayaan mempertahankan kedua-dua kerusi itu amat bermakna kepada UMNO Sabah.

Katanya, sokongan padu rakyat kepada Mohd Kurniawan Naim Moktar dan Mohd Ismail Ayob membuktikan kerjasama politik yang strategik mampu membina gelombang sokongan yang lebih besar dan berkesan.

“Biarpun pihak lawan cuba memainkan sentimen bahawa BN adalah parti berteras Semenanjung, hakikatnya jalinan kerjasama BN bersama parti-parti tempatan berjaya membentuk sebuah kerajaan negeri Sabah yang stabil.

“Ini sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap BN,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Dalam PRK itu, Mohd Kurniawan memenangi persaingan tiga penjuru di kerusi Parlimen apabila memperoleh 19,852 undi dengan majoriti 14,214 undi.

Bagi kerusi DUN pula, Mohd Ismail mendapat 7,269 undi dengan majoriti 5,681 dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon Parti Warisan.

Jafry berkata, UMNO Sabah juga menghargai sokongan Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Haji Noor, serta seluruh kepimpinan dan jentera BN.

Katanya, sokongan padu jentera GRS serta komponen parti kerajaan Perpaduan Sabah termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan itu.

“Insya-Allah, kerjasama erat dalam Kerajaan Perpaduan Sabah ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membela nasib rakyat serta memastikan agenda pembangunan di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.

“UMNO Sabah akan memastikan kedua-dua wakil rakyat yang diberi mandat oleh rakyat dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik-baiknya demi kesejahteraan serta kepentingan rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top