Kemenangan ini bukan titik perubahan – Amorim

Kemenangan ini bukan titik perubahan – Amorim


Manchester: Manchester United meraih kemenangan pertama musim ini yang sangat diperlukan buat pengurusnya yang sedang tertekan, Ruben Amorim, namun hanya selepas penalti minit ke-97 disempurnakan Bruno Fernandes untuk menewaskan pendatang baharu, Burnley 3-2.

Selepas tersingkir daripada Piala Liga kepada pasukan divisyen keempat, Grimsby Rabu lalu, Red Devils dua kali melepaskan kelebihan di Old Trafford.

Namun mereka diselamatkan penalti pada masa kecederaan oleh Fernandes, yang gagal menyempurnakan penalti ketika seri 1-1 menentang Fulham hujung minggu lalu.

Kali ini dia tidak mensia-siakan peluang selepas semakan VAR mengesahkan tarikan berlaku terhadap Amad Diallo.

Kemenangan itu membawa United mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan awal Liga Perdana Ingggeris (EPL) dan sedikit melegakan tekanan terhadap Amorim menjelang rehat antarabangsa selama dua minggu.

“Saya tidak fikir tentang titik perubahan,” kata Amorim selepas meraih kemenangan kelapan daripada 30 perlawanan EPL sejak mengambil alih.

“Saya sudah berbincang dengan anda (media) tentang perkara ini banyak kali, jadi ia proses hari demi hari… masih banyak yang perlu dilakukan, tetapi hari ini kami kembali sedikit kepada tahap kami,” katanya.

Juara 20 kali Liga Inggeris itu sebelum ini melalui detik paling memalukan dalam era Amorim apabila tersingkir kepada pasukan Liga Dua buat kali pertama dalam sejarah kelab.

Jurulatih dari Portugal itu turut menimbulkan keraguan mengenai masa depannya selepas kekalahan itu dengan berkata “sesuatu perlu berubah” dan dia akan “memikirkan semula segala-galanya.”

Amorim menggugurkan penjaga gol Andre Onana selepas kesilapannya yang menyebabkan kedua-dua jaringan Grimsby, namun penggantinya, Altay Bayindir turut berdepan hari yang sukar.

United dikaitkan dengan usaha mendapatkan penjaga gol Antwerp, Senne Lammens, sebagai penyelesaian kepada masalah posisi itu sebelum tarikh akhir perpindahan Isnin ini.

“Bukan mudah menjadi penjaga gol Manchester United ketika ini. Tetapi jika dilihat pada gol pertama, kami sebenarnya boleh bertahan dengan lebih baik di dalam kotak penalti.

“Pemain-pemain sedikit bergelut dengan semua perkara yang berlaku di sekeliling kelab, itu normal. Jadi ia bukan hanya mengenai penjaga gol, saya fikir semua orang perlu memperbaiki diri,” tambah Amorim.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top