Frattesi sebelum ini memuat naik gambar bersama neneknya di laman sosial.
WIRA Inter Milan, Davide Frattesi mendedikasikan gol kemenangan, ketika menjinakkan Bayern Munich, 2-1 dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena buat mendiang neneknya.
Pemain berusia 25 tahun berkenaan sebelum itu kehilangan neneknya sejurus sebelum perlawanan menentang gergasi Bundesliga Jerman tersebut.
Namun, bekas bintang Sassuolo itu tidak membiarkan emosi menguasainya sebaliknya menjadikannya sebagai motivasi tambahan.
“Dalam hidup ini, saya sentiasa percaya kekuatan terbesar adalah mentaliti. Saya selalu berfikir tiada apa dan tiada siapa yang dapat menggoyahkan saya.
“Tetapi sejujurnya saya terasa kehilangan apabila menghadapi situasi ini. Pada satu ketika, saya tidak dapat meneruskan seperti biasa kerana sangat rapat dengan nenek. Ia sukar, namun saya percaya dia turut bersama malam ini,” ujar Frattesi.
Frattesi yang dimasukkan Simone Inzaghi minit ke-74 menggantikan Henrikh Mkhitaryan meledak jaringan buat Inter minit ke-88 untuk kemenangan penting di Allianz Arena.
Gol Frattesi juga memastikan kekalahan pertama Bayern kendalian Vincent Kompany di laman sendiri pada pertandingan Eropah dalam tempoh empat tahun.
“Malam ini, kami meraih keputusan hebat, tetapi untuk mengekalkan konsistensi tidak mudah.
“Kami menghadapi cabaran dan berjuang untuk misi besar dengan perlu memberikan segalanya yang kami ada untuk kemenangan ini,” kata Frattesi.
Pada masa sama Frattesi mengingatkan Inter tidak boleh terlalu selesa dengan kemenangan di laman lawan menjelang timbal balik kedua di San Siro.
“Ia pasti akan menjadi perlawanan yang berbeza di San Siro. Mereka akan lebih menekan.
“Jadi kami perlu bijak ketika memenangi bola kembali dan bersih dalam transisi. Ia tidak akan mudah kerana Bayern sememangnya pasukan yang kuat, tetapi kami perlu tajam dan terutama sekali klinikal,” katanya.