Kemenangan kukuhkan keyakinan terhadap kerjasama BN-PH

Kemenangan kukuhkan keyakinan terhadap kerjasama BN-PH


TAPAH: Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRK Ayer Kuning semalam mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan Perpaduan serta kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengarah Kempen PRK Ayer Kuning DAP, Howard Lee berkata, gabungan ini terbukti  satu kekuatan yang mantap yang seiring dengan aspirasi rakyat  yang majmuk dan harmoni.

Menurutnya, pilihan yang dibuat oleh pengundi jelas membuktikan kepercayaan mereka terhadap visi Malaysia Madani yang dipelopori oleh Kerajaan Perpaduan.

“Ia mencerminkan sokongan kolektif terhadap model pemerintahan yang mementingkan keterangkuman, kemajuan, serta saling menghormati antara semua komuniti.

“Ia juga merupakan satu penolakan yang tegas oleh rakyat terhadap politik ekstrem etno-agama yang dimainkan oleh Pas dan PN, yang bertujuan menabur ketakutan dan perpecahan.

“Perlu ditegaskan kemenangan di Ayer Kuning bukanlah satu kes terpencil. Ia adalah kesinambungan daripada siri kejayaan dalam beberapa pilihan raya kecil yang terdahulu hasil formula perpaduan yang sama.

“Kemenangan di Mahkota, Pelangai, Nenggiri, dan Kuala Kubu Bharu membuktikan bahawa apabila perpaduan dipertahankan, rakyat membalas dengan keyakinan dan sokongan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur mengucapkan penghargaan terhadap dedikasi tidak berbelah bahagi seluruh jentera DAP pada PRK tersebut.

Menurutnya, daripada wakil rakyat, anggota eksekutif negeri dan Persekutuan, ahli majlis tempatan sehinggalah ke ahli akar umbi, setiap sumbangan adalah faktor penentu kejayaan kempen PRK tersebut.

“Komitmen mereka menjadi lambang semangat perpaduan dan tekad bersama yang mendasari perjuangan kita.

“Melangkah ke hadapan, DAP Perak akan terus komited untuk berkhidmat kepada rakyat, mempertahankan prinsip-prinsip demokrasi, dan membina Malaysia yang lebih bersatu dan terus maju dan majmuk,” katanya.

BN mempertahankan kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5, 006 selepas calonnya, Dr Mohamad Yusri Bakir mendapat 11,065 undi, mengatasi calon PN, Abdul Muhaimin Malek (6,059) manakala calon PSM, Bawani KS 1,106 undi. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top