Kemenangan Meru hasil proses tiga tahun

Kemenangan Meru hasil proses tiga tahun


PASUKAN bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru akhirnya menuai hasil kerja keras selama tiga tahun apabila dinobatkan juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun (B-15) selepas menundukkan SMK Putra Perdana dalam aksi dramatik di Stadium Matsushita Panasonic, Shah Alam, Selangor pada Sabtu malam.

Perlawanan berakhir 1-1 dalam masa sebenar sebelum SMK Meru memastikan kemenangan 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Kesebelasan utama Meru dalam perlawanan akhir berkenaan. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID

Penjaga gol, Adam Denesh Faizal muncul wira SMK Meru apabila menyelamatkan dua sepakan penting yang memastikan trofi berprestij itu berpindah ke Klang.

Ketua jurulatih, Mat Hassan Mat Rofi menyifatkan kejayaan tersebut sebagai kemuncak kepada tempoh pembangunan pasukan yang ditempa dengan disiplin dan kerja keras sejak 2022.

Antara aksi menarik perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Sabtu. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Antara aksi menarik perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 di Stadium Panasonic, Shah Alam, pada Sabtu. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Apa yang kami capai malam ini adalah hasil latihan berterusan dan keyakinan yang dibina sejak sekian lama.

“Mereka menunjukkan kematangan tinggi, bukan sahaja sebagai pemain,tetapi juga dari segi mental,” katanya kepada Sukan Sinar.

Tambahnya, kejayaan itu lahir daripada pendekatan taktikal berani dengan mengekalkan gaya hantaran pendek dan permainan berasaskan kawalan bola yang menjadi DNA pasukan sejak awal pembentukan skuad.

“Kami tekankan permainan berstruktur dari bawah dan berani mengekalkan corak sendiri walaupun berdepan tekanan.

“Dalam final ini, pemain buktikan ketenangan apabila mampu bangkit di saat-saat akhir untuk mengheret perlawanan ke penalti,” jelasnya.

Pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Meru meraikan kejayaan merangkul Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Meru meraikan kejayaan merangkul Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15. Foto Sinar Harian – MOHD HALIM ABDUL WAHID

Mat Hassan turut memuji semangat sepasukan anak buahnya yang tidak gentar beraksi di depan penyokong lawan dan kekal fokus sehingga ke wisel penamat.

“Kejayaan ini milik seluruh pasukan. Setiap pemain memainkan peranan dan saling mempercayai antara satu sama lain. Itu kekuatan sebenar kami,” katanya.

Kemenangan itu melengkapkan kejayaan berganda SMK Meru selepas skuad B-18 sekolah sama mucul juara apabila menewaskan SMK Seksyen 19, Shah Alam bulan lalu, juga menerusi penentuan penalti.

Kejohanan kali ini mendapat tajaan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), manakala Sinar Harian sebagai akhbar rasmi.

ROAD TO FINAL PIALA MOKHTAR DAHARI B-15 SMK MERU

KUMPULAN H

SMK Meru 2-1 SMK Seri Selanyang

SMK Meru 1-0 SMK Sultan Abdul Samad

SMK Meru 2-0 SMK Seksyen 19

* Meru mara dengan status juara Kumpulan H

PUSINGAN 16

SMK Meru 4-2 SMK Seksyen 4 Kota Damansara

SUKU AKHIR

SMK Meru 2-1 SMK Bandar Tasik Kesuma

SEPARUH AKHIR

SMK Meru 2-0 SMK Seksyen 9

FINAL

SMK Meru 1-1 SMK Putra Perdana

* Meru menang penentuan sepakan penalti 4-3

 

Ringkasan AI

  • PASUKAN bola sepak SMK Meru menjadi juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 Tahun selepas mengalahkan SMK Putra Perdana
  • Perlawanan berakhir seri 1-1 dan kemenangan SMK Meru dicapai melalui penentuan sepakan penalti dengan skor 4-3
  • Penjaga gol Adam Denesh Faizal menjadi wira dengan menyelamatkan dua sepakan penalti
  • Kejayaan ini disifatkan oleh ketua jurulatih sebagai puncak usaha keras dan pembangunan pasukan sejak 2022
  • Kemenangan ini melengkapkan kejayaan berganda bagi SMK Meru setelah skuad B-18 sekolah sama menjadi juara bulan sebelumnya



Source link

OR

Scroll to Top