Kementerian Komunikasi jadikan KOA Kelinsing kampung angkat

Kementerian Komunikasi jadikan KOA Kelinsing kampung angkat


Kuala Lumpur: Kampung Orang Asli (KOA) Kelinsing di Sepang kini dijadikan sebagai Kampung Angkat MADANI oleh Kementerian Komunikasi dalam usaha menambah baik infrastruktur asas serta perkhidmatan internet bagi komuniti di kawasan berkenaan.

Program berkenaan bertujuan untuk memastikan masyarakat luar bandar, khususnya komuniti Orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pembangunan digital negara.

Berikutan itu, Menterinya, Fahmi Fadzil memaklumkan sebanyak RM2.5 juta diperuntukkan kepada kampung berkenaan bagi menjalankan kerja bina baharu dan naik taraf infrastruktur.

Katanya, antara yang ditambah baik termasuklah menyediakan satu ruang perniagaan baharu bagi membantu meningkatkan taraf hidup penduduk, dewan serbaguna, kantin atau tempat memasak untuk komuniti.

Selain itu, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang menyediakan akses kepada internet berkelajuan tinggi dan sebagai hab pendidikan digital.

“Kita juga akan menambah baik prasarana lain, termasuk laluan di kampung ini serta menyediakan satu kawasan khas untuk digunakan kanak-kanak sebagai tempat bermain yang lebih selesa.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa meninjau kemajuan projek pada 9 Oktober lalu.

“Dari segi pemasangan internet, pihak MCMC akan berusaha menyediakan perkhidmatan itu dengan lebih laju dan diharapkan dengan adanya NADI kelak, komuniti di sini dapat memanfaatkannya secara percuma.

“Malah, kita juga akan memberikan pemahaman kepada komuniti Orang Asli seperti cara untuk menggunakan internet dengan lebih selamat, sekali gus dapat mengelakkan mereka menjadi mangsa pelbagai jenayah seperti ‘scam’, mahupun mangsa buli siber,” katanya ketika mengadakan lawatan ke KOA Kelinsing, baru-baru ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2024 mengumumkan mengenai pelaksanaan Kampung Angkat MADANI yang akan memberi tumpuan kepada kemudahan asas, termasuk internet di kawasan desa terpinggir.

Inisiatif yang diterajui oleh semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan itu turut menjalin kerjasama merentas kementerian, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta badan swasta. 

Tumpuan pelancongan

Sementara itu, Fahmi berkata, kampung berkenaan sebelum ini menjadi tumpuan bagi aktiviti kebudayaan pelancongan membabitkan pengunjung dari dalam dan luar negara.

Disebabkan itu Fahmi berkata, pelaksanaan projek baharu di kampung berkenaan akan memberi nilai tambah kepada sektor terbabit serta membantu meningkatkan aktiviti penduduk.

Dalam pada itu, tambah Fahmi pihaknya juga bercadang untuk menggunakan produk yang dihasilkan oleh komuniti dalam acara yang dianjurkan oleh kementeriannya.

Diharapkan program Kampung Angkat MADANI tidak hanya terhenti pada siapnya infrastruktur, tetapi diteruskan untuk mencapai objektif utamanya, iaitu merapatkan hubungan, meningkatkan kemudahan asas dan menjadi pemangkin ekonomi digital di kampung tersebut selaras dengan visi dan misi Kementerian Komunikasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top